KLANG – Seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) diugut tembak oleh seorang individu dipercayai ejen ketika melaksanakan tugas rasmi.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya memandang serius perbuatan itu dan laporan mengenainya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut.
“Sebarang bentuk ugutan, intimidasi, gangguan atau cubaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas merupakan perbuatan serius dan tidak akan dikompromi.
“AKPS sentiasa mempertahankan keselamatan dan kebajikan pegawai dalam melaksanakan amanah menguatkuasakan undang-undang dan melindungi keselamatan sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, AKPS memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Justeru, Nik Ezanee menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Mana-mana individu yang melanggar undang-undang akan berdepan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE















