fbpx
Lebih 12,200 program ijazah di China telah dihentikan atau digantung kerana dianggap sudah tidak lagi memenuhi keperluan ekonomi baharu negara itu. - GAMBAR JANAAN AI

Beranikah IPT Malaysia ikut universiti China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Menurut data Kementerian Pendidikan China yang dipetik oleh agensi berita Xinhua, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, China telah melakukan reformasi pendidikan tinggi secara drastik apabila lebih 12,200 program ijazah dihentikan atau digantung kerana dianggap sudah tidak lagi memenuhi keperluan ekonomi baharu negara itu.

Pada masa yang sama, mereka memperkenalkan lebih 10,000 program baharu yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), robotik, semikonduktor, sains data dan teknologi masa depan.

Langkah itu bukan sekadar reformasi pendidikan, tetapi sebahagian daripada strategi membina tenaga kerja yang mampu memacu ekonomi digital.

Langkah China itu bolehlah kita anggap sebagai satu mesej yang tidak boleh diabaikan begitu saja oleh dunia pendidikan tinggi termasuk semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Persoalannya, bersediakah IPT di Malaysia melakukan perubahan yang sama?

Memang kita akui dan tidak nafikan ada dalam kalangan IPT di negara ini yang sentiasa menyemak semula kurikulum mereka supaya sentiasa selaras dengan keperluan industri demi memastikan peratusan kebolehpasaran graduan mereka berada pada tahap tertinggi.

Namun jika difikirkan sejenak, rasanya penting untuk kita renungkan apa yang dilakukan oleh universiti China itu. Adakah sistem pendidikan tinggi negara kita turut bergerak sepantas perubahan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan?

Realitinya, AI bukan lagi sekadar satu bidang pengajian. AI sedang mengubah hampir semua sektor ekonomi, daripada perbankan, perkilangan dan kesihatan hinggalah kepada pertanian, pendidikan serta perkhidmatan awam.

Banyak pekerjaan rutin kini boleh dilaksanakan oleh mesin dan sistem pintar, manakala pekerjaan baharu pula memerlukan kemahiran yang jauh berbeza daripada sedekad lalu.

Kerana itu, kita tidak boleh terus bergantung kepada program pengajian yang hanya relevan ketika ia mula diperkenalkan dahulu.

Sesebuah program yang gagal dikemas kini, tidak memenuhi keperluan industri atau menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan yang rendah perlu dinilai semula secara objektif.

Paling penting, universiti seharusnya bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi lebih kepada menyediakan modal insan yang benar-benar diperlukan negara. Semua jurusan perlu berevolusi.

Graduan undang-undang perlu memahami AI dan teknologi digital, graduan komunikasi perlu menguasai analitik data dan media pintar.

Graduan pendidikan pula perlu bersedia menggunakan AI sebagai alat pembelajaran.

Tidak dinafikan memang ada universiti awam yang menawarkan program pengajian berasaskan AI, sains data atau keselamatan siber. Namun, adakah ia berlaku sepantas berkembangnya teknologi tersebut pada masa kini?

Mungkin kita boleh ikut apa yang dilakukan universiti China. Bukan untuk ditiru bulat-bulat tetapi ikutlah keperluan kita.

Nilai semula setiap jurusan pengajian dan penilaian itu perlulah berasaskan data kebolehpasaran graduan, permintaan industri, perkembangan teknologi, keperluan ekonomi negara dan potensi pekerjaan masa hadapan.

Mana-mana program yang tidak lagi relevan perlu distruktur semula, digabungkan atau dihentikan. Jika perlu perkenalkan program baharu. Misalnya gabungan AI dengan perubatan, pertanian, undang-undang, pendidikan, ekonomi, seni kreatif dan pentadbiran awam.

Akhirnya kita berharap ia bakal melahirkan graduan yang lebih fleksibel serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan.

Kita tidak mahu IPT hanya mampu menghasilkan ramai graduan tetapi mereka sukar dapat kerja mengikut kelayakan dan terpaksa bekerja di luar bidang pengajian.

Kita sedar, perubahan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Namun mesejnya jelas, universiti mesti bergerak seiring dengan perubahan zaman.

Paling penting perubahan yang dilakukan mestilah ke arah untuk membantu membina masa depan negara dengan melahirkan graduan yang relevan dengan dunia yang berubah pantas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN