fbpx
Kerajaan negeri Johor arahkan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan warga Israel menyertai program di Network School di Forest City, Iskandar Puteri.

Siasat dakwaan warga Israel sertai Network School Forest City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap operasi Network School di Forest City, Iskandar Puteri susulan kebimbangan orang ramai berhubung dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan dengan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kerajaan negeri memandang serius isu itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan secara menyeluruh.

“Siasatan itu meliputi identiti serta kewarganegaraan individu yang terlibat, dokumen perjalanan dan penggunaan pasport kedua, jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia selain memastikan aktiviti yang dijalankan selaras dengan tujuan kemasukan mereka ke negara ini.

“Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Onn Hafiz berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School serta sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.

Di peringkat negeri pula, katanya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semula semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.

Semakan itu merangkumi pematuhan syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta keperluan perundangan dan peraturan lain yang sedang berkuat kuasa.

Beliau menegaskan, sekiranya hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah serta unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri dan keselamatan negara, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi.

“Kerajaan negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN