SUBANG JAYA – Elak konfrontasi, pelakon Zahiril Adzim memilih untuk bersemuka bagi berbincang secara baik sekiranya berdepan dengan rakan artis yang bersikap ‘diva’ atau menimbulkan salah faham di lokasi penggambaran.
Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 42, percaya bercakap secara berdepan lebih berkesan berbanding meluahkan perasaan tidak puas hati menerusi laman sosial.
“Bagi saya hal peribadi tidak wajar dibawa ke media sosial. Kita semua sudah dewasa dan mampu berbincang secara bersemuka. Kenapa tidak selesaikan secara baik, depan-depan?
“Kalau saya ada masalah dengan seseorang, saya akan jumpa dan tarik ke tepi untuk berbincang. Semua orang yang bercakap belakang saya, saya akan jumpa. Tak kisah pengarah, penolong pengarah atau sesiapa sahaja.
“Saya akan cakap apa yang saya dengar mengenai diri saya. Lebih baik bawa individu terbabit ke tepi dan selesaikan perkara itu,” katanya ketika ditemui pada acara Blossom Rally Pickleball 2026, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, kemarahan juga akan mudah reda apabila kedua-dua pihak dapat bersemuka, apatah lagi jika individu terbabit tampil memohon maaf.
Pada masa sama, bintang filem Malbatt: Misi Bakara itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah jatuh hukum terhadap mana-mana pihak berdasarkan pendedahan yang tular di media sosial.
Katanya, kebanyakan perkongsian di platform berkenaan hanya memaparkan satu sudut pandang sekali gus berkemungkinan dipengaruhi emosi.
“Perkongsian di media sosial selalunya akan menjatuhkan sebelah pihak. Nasihat saya, baca boleh, tetapi jangan terus percaya. Kadang-kadang itu andaian atau luahan emosi satu pihak.
“Mungkin individu yang membuat tuduhan sebenarnya punca utama, tetapi apabila dimuat naik di laman sosial, dia pula dilihat jadi mangsa dan pihak lain pula bersalah,” katanya.
Sebelum ini, tular hantaran seorang pelakon lelaki yang menegur sikap segelintir rakan artis didakwa sukar memberi kerjasama selain enggan berinteraksi dengan warga produksi ketika berada di lokasi penggambaran. – KOSMO! ONLINE















