fbpx
Majlis tandatangan Penyataan Sokongan Bersama ke arah pengurusan FOG dan Pengurusan Air Sisa Kumbahan di antara IWK dan Persatuan Hotel Malaysia (Kedah/Perlis) hari ini.

IWK, pengusaha hotel kerjasama pelihara kelestarian Pulau Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan pengusaha hotel di Pulau Langkawi bagi memperkukuh pengurusan lemak, minyak dan gris (FOG) serta sistem pengurusan air sisa kumbahan demi memelihara kelestarian alam sekitar pulau peranginan itu.

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi penyataan sokongan antara IWK dan Persatuan Hotel Malaysia (Kedah/Perlis) yang memberi penekanan terhadap amalan kelestarian alam sekitar, pematuhan garis panduan pengurusan FOG serta memperkukuhkan kerjasama strategik dengan pemain industri pelancongan.

Ketua Pegawai Operasi IWK, Ir. Mohd Taufik Salleh berkata, tahap pematuhan masyarakat terhadap pengosongan tangki septik secara berkala masih membimbangkan apabila kadar penerimaan perkhidmatan itu direkodkan kurang daripada 15 peratus.

Katanya, kegagalan mengosongkan tangki septik mengikut jadual boleh menyebabkan sistem gagal berfungsi dan berlaku limpahan air sisa kumbahan.

“Keadaan ini boleh menyebabkan air sisa kumbahan mengalir ke sistem perparitan sebelum mencemarkan sungai dan kawasan perairan pantai,” katanya ketika berucap pada Program Kesedaran Kelestarian Alam Sekitar, hari ini.

Program itu dirasmikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohamad Yusoff Zakaria yang disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada pengusaha hotel serta wakil agensi kerajaan termasuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pada majlis sama, IWK bersama SPAN turut melancarkan Operasi Helang yang berlangsung dari 13 hingga 15 Julai ini bagi meningkatkan pematuhan terhadap pengosongan tangki septik secara berkala.

Operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemeriksaan serta pemantauan premis komersial dan domestik di seluruh Pulau Langkawi bagi memastikan Tangki Septik Individu diselenggara mengikut keperluan.

Menurut Mohd Taufik, operasi pembetungan di Langkawi kini disokong empat Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Kuah, Pantai Tengah 1, Pantai Tengah 2 dan Padang Matsirat dengan rangkaian paip pembetungan bawah tanah sepanjang 85.5 kilometer.

Beliau berkata, selain sistem rawatan kumbahan berpusat, IWK turut menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu yang melibatkan 3,852 pengguna Tangki Septik Individu dan 14,766 pengguna sistem tangki primitif atau palong di seluruh pulau itu.

“Pelaksanaan Operasi Helang bukan sekadar aktiviti penguatkuasaan, sebaliknya usaha meningkatkan kesedaran supaya semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing dalam menjaga sistem pembetungan.

“Pengurusan air sisa kumbahan yang berkesan penting bagi memastikan perairan laut dan ekosistem Langkawi terus terpelihara untuk generasi akan datang. Kerjasama pemilik premis, pengusaha hotel dan komuniti amat diperlukan bagi menjayakan usaha ini,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif tersebut selari dengan komitmen kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur pembetungan di Langkawi, termasuk Projek Sambungan Hartanah Fasa 4 di Pantai Chenang dan Pantai Tengah serta projek perintis menaik taraf sistem pembetungan primitif di Pulau Tuba. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN