PETALING JAYA – Seorang ibu tidak menyangka anaknya berpeluang menjadi pelakon tambahan dalam filem Netflix ‘The Big Fix’ yang dibintangi pelakon terkenal Hollywood, Mark Wahlberg.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @atiqa.ramli, wanita itu berkongsi keterujaannya selepas mengetahui anaknya akan menjalani penggambaran filem antarabangsa berkenaan di Pulau Pinang.
“Kecoh hari ini Mark Wahlberg datang Penang. Tak tahulah kebetulan atau apa, tapi esok anak aku ‘shooting’ filem Hollywood juga sebagai pelakon tambahan, watak pemain bola sekolah. Adakah filem yang sama? Kita nantikan esok,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Menurut wanita itu, pada mulanya dia menyangka anaknya hanya terlibat dalam penggambaran sebuah iklan jenama makanan sebelum menyedari tajuk filem tersebut sebenarnya tertera pada kad panggilan.
“Jujur saya baru tahu. Sebelum ini ingat anak jadi pelakon tambahan iklan minuman atau makanan. Tak tahu dekat kad dah tulis tajuk filem ‘The Big Fix’. Maaf, kita bukan orang seni,” katanya.
Tambahnya, peluang itu diperoleh hasil galakan jurulatih bola sepak anaknya yang menyarankan agar kanak-kanak tersebut menghadiri sesi uji bakat bagi filem antarabangsa berkenaan.
“Terima kasih banyak dekat ‘coach’ dia sebab galak untuk cuba uji bakat ini,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut berkongsi rasa bangga dan teruja dengan peluang yang diperoleh kanak-kanak tersebut.
“Tahniah, anak dah jadi pelakon Hollywood. Boleh berlagak dengan saudara-mara lepas ini,” komen Izzati.
“Fuh, kenangan bila besar nanti pernah berlakon filem Hollywood,” komen seorang lagi pengguna.
“Kalau jumpa kena bergambar. Bukan selalu artis Hollywood datang,” tulis Dayang.
Sebelum ini, Mark Wahlberg mencuri perhatian ramai apabila dilaporkan berada di George Town, Pulau Pinang bagi menjalani penggambaran sebuah filem antarabangsa.
Menerusi beberapa video tular di media sosial, pelakon berusia 55 tahun itu dilihat berada di beberapa lokasi penggambaran yang dipercayai bagi filem terbaharunya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads















