APAKAH yang menjadikan sesebuah bangunan benar-benar pintar? Adakah sekadar dilengkapi lampu automatik, pendingin hawa cekap tenaga atau panel solar di atas bumbung?
Di Amsterdam, Belanda, berdiri sebuah bangunan pejabat yang mengubah sepenuhnya definisi bangunan pintar.
Dikenali sebagai The Edge, bangunan ini bukan sahaja terkenal sebagai antara bangunan paling lestari di dunia, malah turut digelar The Smartest Building in the World kerana menggabungkan kecerdasan buatan, Internet of Things (IoT), analitik data dan automasi secara menyeluruh dalam operasi hariannya.
Ia meraih skor kelestarian tertinggi 98.4 peratus yang tidak pernah dicapai mana-mana bangunan pejabat.
Siap dibangunkan pada tahun 2014 sebagai ibu pejabat firma perunding pengauditan, Deloitte di Amsterdam, The Edge dibangunkan dengan falsafah bahawa bangunan bukan lagi sekadar struktur konkrit dan keluli, sebaliknya sebuah platform digital yang sentiasa mengumpul, menganalisis serta bertindak balas terhadap data masa nyata.
Menurut arkitek The Edge yang berkhidmat di PLP Architecture berpangkalan di London, Britain, Ron Bakker, pendekatan ini membolehkan bangunan berfungsi seperti sebuah komputer gergasi yang mengurus penggunaan tenaga, keselesaan penghuni dan kecekapan operasi secara automatik.
“Antara inovasi terbesar yang membezakan The Edge daripada bangunan pejabat konvensional ialah penggunaan puluhan ribu sensor pintar yang dipasang di seluruh bangunan.
“Sensor ini sentiasa memantau pelbagai parameter termasuk suhu, kelembapan, tahap pencahayaan, pergerakan penghuni, penggunaan ruang, penggunaan tenaga dan kualiti udara,” katanya dalam artikel yang diterbitkan oleh Bloomberg.

Tambahnya, data yang dikumpulkan dihantar ke sistem pengurusan bangunan yang membuat pelbagai keputusan secara automatik tanpa memerlukan campur tangan manusia.
Sistem pencahayaan pintar pula menjadi contoh terbaik bagaimana teknologi IoT mampu mengurangkan pembaziran tenaga.
Lebih 6,000 lampu LED juga dihubungkan kepada sensor cahaya semula jadi, pengesan pergerakan dan sensor inframerah.
Lampu hanya menyala apabila ruang digunakan dan akan melaraskan tahap kecerahan mengikut cahaya matahari yang memasuki bangunan.
Hasil pendekatan itu, penggunaan elektrik bagi sistem pencahayaan jauh lebih rendah berbanding bangunan pejabat biasa tanpa menjejaskan keselesaan pengguna.
Kongsi Bakker lagi, keunikan The Edge turut terserlah melalui aplikasi mudah alih yang menjadi ‘kunci digital’ kepada keseluruhan pengalaman bekerja.
“Sebelum tiba di pejabat, aplikasi tersebut boleh mengenal pasti jadual mesyuarat pekerja penggunanya, menyediakan lokasi parkir, mencadangkan ruang kerja yang sesuai serta membimbing pengguna ke meja yang tersedia.
“Menariknya, sistem turut mengingati tetapan kegemaran setiap individu seperti suhu bilik dan tahap pencahayaan,” ujarnya.

Katanya lagi, sebaik sahaja pekerja berada di meja yang dipilih, sistem secara automatik menyesuaikan persekitaran mengikut profil pengguna tersebut.
Pendekatan ini menyokong konsep ‘activity-based working’, iaitu pekerja tidak lagi mempunyai meja tetap.
Sebaliknya, mereka memilih ruang kerja mengikut tugasan harian sama ada bilik fokus, ruang kolaborasi, meja berdiri atau kawasan santai. Sistem digital memastikan setiap ruang dimanfaatkan secara optimum sekali gus mengurangkan pembaziran ruang pejabat dan kos operasi.
Dari sudut kecekapan tenaga pula, Bakker memberitahu The Edge menjadi contoh bagaimana teknologi bangunan hijau boleh digabungkan dengan sistem digital.
“Bangunan ini dilengkapi panel solar pada bumbung dan sebahagian fasad bangunan bagi menjana tenaga boleh diperbaharui.
“Pada masa sama, reka bentuk bangunan dioptimumkan supaya cahaya matahari semula jadi dapat menerangi ruang dalaman tanpa menghasilkan haba berlebihan,” jelasnya.
Ujarnya lagi, pendekatan pasif ini mengurangkan kebergantungan kepada lampu dan sistem pendingin hawa sepanjang hari.

Selain itu, sistem penyimpanan tenaga haba bawah tanah atau Aquifer Thermal Energy Storage (ATES) digunakan untuk memanaskan dan menyejukkan bangunan.
Air bawah tanah yang disimpan pada suhu berbeza dipam mengikut musim bagi menghasilkan sistem pemanasan dan penyejukan yang jauh lebih cekap berbanding penyaman udara konvensional.
Teknologi ini membolehkan penggunaan tenaga dikurangkan secara signifikan sambil mengekalkan suhu dalaman yang stabil sepanjang tahun.
Apa yang lebih menarik ialah semua sistem ini saling berhubung dalam satu ekosistem digital. Bakker menjelaskan, jika sensor mengesan sesuatu ruang mesyuarat kosong lebih awal daripada jadual, lampu dan pendingin hawa akan dimatikan secara automatik.
“Sekiranya bilangan penghuni meningkat di sesuatu kawasan, sistem akan melaraskan pengudaraan bagi memastikan tahap karbon dioksida kekal pada paras optimum.
“Pendekatan berasaskan data ini bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah meningkatkan produktiviti dan kesihatan penghuni bangunan,” hurainya.

Aspek penyelenggaraan turut mengalami transformasi menerusi penggunaan analitik pintar. Data daripada sensor membolehkan pasukan pengurusan bangunan menjalankan penyelenggaraan berasaskan keadaan sebenar (predictive maintenance).
Contohnya, sistem boleh mengesan tandas yang memerlukan pembersihan berdasarkan penggunaan atau mengenal pasti peralatan mekanikal yang menunjukkan tanda awal kerosakan sebelum ia gagal berfungsi.
Pendekatan ini mengurangkan kos penyelenggaraan dan meminimumkan gangguan kepada operasi harian.
Kejayaan The Edge diiktiraf menerusi penarafan BREEAM (Building Research Establishment Environmental Assessment Method) apabila memperoleh skor kelestarian sekitar 98.4 peratus tertinggi pernah direkodkan.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa bangunan pintar bukan sekadar menggunakan teknologi canggih, sebaliknya mengintegrasikan reka bentuk seni bina, kecekapan tenaga, pengalaman pengguna dan pengurusan data dalam satu sistem yang menyeluruh.
Lebih sedekad selepas siap dibina, The Edge masih dijadikan penanda aras oleh industri hartanah global.
Banyak konsep yang diperkenalkan di bangunan ini seperti pejabat berasaskan aplikasi, pengurusan tenaga masa nyata, pencahayaan pintar, analitik penghuni dan automasi penyelenggaraan kini mula diterapkan dalam pembangunan pejabat moden di seluruh dunia.
Evolusi ini menunjukkan bahawa masa depan sektor pembinaan bukan lagi tertumpu kepada pembinaan bangunan yang lebih tinggi atau lebih besar, sebaliknya menghasilkan bangunan yang mampu ‘berfikir’, belajar daripada data dan bertindak balas terhadap keperluan manusia secara pintar.
Bagi negara yang sedang mempercepat agenda bandar pintar serta sasaran pelepasan karbon sifar bersih, pendekatan yang diperkenalkan oleh The Edge menawarkan rujukan yang sangat bernilai.















