fbpx
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di ibu negara, hari ini.

Sanggup kerja lebih masa alasan majikan pilih warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tidak memilih pekerjaan selain sanggup bekerja lebih masa dikenal pasti antara faktor segelintir majikan tempatan memilih menggaji warga asing secara tidak sah.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, alasan itu dikesan hasil pemeriksaan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di 12 premis sekitar ibu negara hari ini.

Menurutnya, operasi bermula pukul 10 pagi itu menyasarkan premis perniagaan termasuk kedai makan, kedai gunting rambut, kedai runcit, premis cuci kereta dan bengkel kenderaan yang dipercayai menggajikan serta dikendalikan warga asing.

“Hasil operasi, seramai 18 warga asing terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita berusia antara 25 hingga 32 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka dipercayai menerima gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Antara faktor warga tempatan menggajikan mereka adalah kerana warga asing tidak memilih kerja dan sanggup bekerja lebih masa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan membabitkan empat lelaki warga Indonesia, seorang wanita Bangladesh, tiga wanita India, tiga lelaki Pakistan serta tujuh warga Myanmar terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita.

Katanya, siasatan mendapati kesemua mereka melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, melanggar syarat pas dan menggunakan dokumen yang tidak diiktiraf.

Tambah beliau, semua warga asing terbabit dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut, manakala dua warga tempatan turut diberikan saman sebagai saksi bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN