fbpx
Sultan Sharafuddin diiringi Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah ketika berkenan menaiki LRT3 Laluan Shah Alam.

Alangkah baiknya LRT3 siap ikut perancangan asal – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam
sepatutnya dapat dinikmati rakyat lebih awal sekiranya projek itu disiapkan mengikut perancangan asal.

Titah baginda, perkhidmatan tren itu merupakan antara kemudahan pengangkutan awam yang amat penting bagi memudahkan urusan harian rakyat, khususnya di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

“Alangkah baiknya kalau laluan LRT3 ini siap seperti perancangan asal kerana beta berpandangan perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.

“Beta memuji kesabaran rakyat Selangor.
Alhamdulillah, akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam ini siap dan boleh digunakan. Beta percaya ada hikmah yang Allah S.W. T. ingin tunjukkan daripada kelewatan ini,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan mencemar duli menaiki LRT3 dari Stesen Bandar Utama di Petaling Jaya ke Stesen Johan Setia di Klang hari ini.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan
Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3 ini.

Tegas baginda, kejayaan merealisasikan projek yang sekian lama dinantikan disifatkan memberi manfaat besar kepada rakyat melalui sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.

“Beta turut teruja menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh yang bakal dibina semula. Ini meliputi stesen LRT3 Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang bakal memberi manfaat kepada majoriti penduduk Melayu di kawasan berhampiran,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah telah disembah maklum bahawa lebih 13,000 individu terlibat dalam sepanjang tempoh pembinaan LRT3 selama 10 tahun 9 bulan.

“Walaupun yang dilihat masyarakat hanyalah stesen, landasan dan tren, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini ialah hasil dedikasi, profesionalisme dan pengorbanan lebih 13,000 individu.

“Secara puratanya seramai 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa,” titah baginda.

Baginda berharap Prasarana terus memastikan operasi LRT3 berjalan lancar dengan gangguan diminimumkan, selain berpesan supaya rakyat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu sebagai pemangkin budaya penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN