JOHOR BAHRU – Walaupun tiada calon daripada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Muda tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera kira-kira pukul 1.45 petang bersama ibu bapanya serta kakaknya sebelum mengundi di Saluran Lima.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sokongan atau kecenderungannya terhadap mana-mana calon yang bertanding di DUN Perling membabitkan Alan Tee mewakili Pakatan Harapan (PH), Pannir Selvam (Barisan Nasional) dan Boo Wei Han (Parti Bersama Malaysia).
Sebaliknya, beliau berharap rakyat Johor keluar mengundi beramai-ramai sebelum proses pengundian berakhir, selain mengajak semua pihak menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka.
“Saya berharap semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab. Selepas keputusan diumumkan malam ini, marilah kita kembali bersatu sebagai rakyat Malaysia.
“Kita ketepikan perbezaan politik dan kepartian kerana masih banyak cabaran yang perlu kita hadapi bersama serta mencari penyelesaian demi kepentingan negara,” katanya.
Mengulas kadar keluar mengundi, Syed Saddiq mengakui faktor kesesakan jalan raya dan hujan sejak pagi di beberapa kawasan, khususnya di utara Johor termasuk kawasan Parlimen Muar, mungkin menjejaskan pergerakan pengundi.
Namun, beliau berkata, masih belum terlambat untuk rakyat menunaikan tanggungjawab memandangkan proses pengundian masih berlangsung. – KOSMO! ONLINE















