fbpx
DUA pasangan kembar seiras antara 122 peserta PLKN 3.0 Siri3/2026 yang melapor diri di Kem CLKN 504 AW Bukit Keteri di sini hari ini.

Kembar pilih PLKN isi cuti semester tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Ketika kebanyakan pelajar memilih berehat sepanjang cuti semester, pasangan kembar seiras dari Perlis mengambil keputusan mencabar diri dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) selama 45 hari.

Alia Maisara Noorizun, 23, bersama adiknya, Alia Maizura memohon menyertai program itu secara sukarela bagi mendapatkan pengalaman baharu selain mengisi cuti semester mereka selama tiga bulan.

“Kami sedang bercuti semester selama tiga bulan dan mengambil kesempatan ini menyertai PLKN bagi menambah ilmu serta mengisi masa lapang di rumah.

“Perasaan saya ketika ini berdebar-debar untuk menjalani latihan selama 45 hari, namun perasaan ingin tahu mengatasi segala-galanya,” katanya ketika ditemui pada sesi lapor diri PLKN 3.0 Siri 3/2026 di Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 504 Askar Wataniah (AW), Bukit Keteri di sini hari ini.

Alia Maisara dan Alia Maizura merupakan pelajar jurusan multimedia di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Menurut Alia Maizura, dia sangat teruja untuk menyertai program ini, tetapi pada masa sama turut berasa gementar sama ada mampu bertahan dengan modul PLKN.

“Saya tertanya-tanya sama ada saya mampu menjalani latihan seperti kawad kaki dan sebagainya. Harapan saya selepas tamat latihan, saya dapat membina jaringan persahabatan dengan lebih ramai peserta dari seluruh negara,” ujarnya.

Kem 504 AW menerima kemasukan sulung 122 peserta wanita PLKN 3.0 Siri 3/2026 dari seluruh Semenanjung yang disambut Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Jabatan Latihan Khidmat Negara, Brigedier Jeneral Samad Igom. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN