fbpx
BIAR tidak semuanya manis, Ernie masih boleh bertahan dengan sikap netizen dalam platform Threads yang gemar mengutuk seolah-olah dunia milik mereka.

‘Suara bukan mesin, tak boleh digunakan tanpa henti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI anak seni tidak pernah mudah, apatah lagi dalam era media sosial apabila setiap gerak-geri diperhati, setiap perkongsian dihakimi dan setiap kejayaan sentiasa mengundang pelbagai tafsiran.

Bagaikan semut melintas di dinding pun mahu diperdebatkan, begitulah hakikat dunia hiburan hari ini apabila semua orang merasakan mereka berhak bersuara.

Itulah realiti ditempuhi pemilik nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri sepanjang lebih sedekad bergelar penyanyi.

Bagaimanapun, pengalaman mematangkan dirinya sehingga segala kecaman kini disambut dengan fikiran terbuka tanpa membiarkan emosi menguasai diri.

“Selepas melalui pelbagai fasa dalam industri seni, kecaman sudah menjadi sesuatu yang mampu saya hadapi. Namun saya tetap manusia biasa, bukanlah boleh mengabaikannya 100 peratus.

“Kalau terbaca kutukan atau komen negatif, kadang-kadang perkara itu tetap bermain dalam fikiran tetapi saya sentiasa mengingatkan diri bahawa manusia normal tidak akan berkata buruk tentang seseorang tanpa benar-benar mengenalinya.

“Itulah pegangan saya untuk menenangkan hati. Saya sudah lali. Cakaplah apa sahaja, tetapi jika komen itu membina, saya akan ambil dan perbaiki diri. Kalau komen baik, saya balas. Kalau komen buruk pula, semuanya bergantung kepada keadaan dan juga mood saya,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) itu, setiap platform media sosial mempunyai sisi positif tersendiri, bergantung kepada cara seseorang menggunakannya.

Justeru, dia memilih untuk mengisi ruang digital dengan perkara menghiburkan berbanding terus tenggelam dalam aura negatif.

“Saya mempunyai ramai peminat baharu di Threads. Jadi saya tidak boleh menganggap platform itu sebagai sesuatu yang negatif.

“Semuanya bergantung kepada cara kita menggunakannya. Kalau kita membawa perkara negatif, hasilnya juga negatif. Sebaliknya, kalau kita berkongsi perkara baik, suasananya turut menjadi lebih positif.

“Sebab itu kadang-kadang saya gemar berkongsi perkara lucu dalam Threads untuk menyebarkan aura positif kepada peminat,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan kerjaya pula, isteri kepada penyanyi Syamel itu mengakui memilih untuk memperlahankan rentak seketika selepas kejayaan luar biasa lagu Masing-Masing.

Keputusan tersebut dibuat bukan kerana kehilangan idea, sebaliknya mahu memberi ruang kepada diri sendiri berehat demi menjaga aset paling berharga dimiliki, iaitu suara.

“Ramai bertanya, selepas Masing-Masing, apa pula seterusnya? Saya rasa sudah tiba masanya untuk menjadi seorang yang sedikit pentingkan diri sendiri demi kesihatan dan kesejahteraan.

“Saya perlu berehat kerana suara bukan sesuatu yang boleh digunakan tanpa henti setiap hari. Suara bukan mesin, malah mesin pun boleh rosak, apatah lagi manusia. Allah mengurniakan sesuatu yang sangat bernilai kepada saya, jadi saya perlu menjaganya sebaik mungkin.

“Dalam tempoh berehat itu, saya tidak berhenti bekerja sepenuhnya kerana masih mencari lagu terbaik untuk peminat. Doakan segala perancangan dan projek saya selepas ini dipermudahkan,” tutupnya

Dalam perkembangan lain, Ernie kini kembali menghangatkan industri muzik menerusi single terbaharu, Tak Berlagu, lagu tema rasmi filem seram Khadam dan dalam proses melancarkan beberapa lagi karya baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN