RAUB – Seorang lelaki dan seorang wanita warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah berbahaya serta satu pertuduhan memiliki dadah.
Tertuduh, Chong Ding Hun, 38, yang berasal daripada Kedah dan Miss Nichakarn, 35, warga Thailand, didakwa di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis ketamin seberat 2.614 kilogram di dalam sebuah kereta Mazda CX-5 berwarna perak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 malam pada 29 Jun lalu di jalan susur keluar parkir Basement 1, Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, Bentong.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis MDMA seberat 671 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan ketiga pula menyaksikan kedua-dua mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kokain seberat 1.10 kilogram di lokasi, masa dan tarikh yang sama mengikut peruntukan undang-undang yang sama.
Selain itu, mereka turut berdepan satu lagi pertuduhan memiliki bersama dadah jenis nimetazepam seberat 4.30 gram mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, mereka boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Bagi pertuduhan memiliki dadah pula, hukuman yang diperuntukkan ialah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hardave Singh.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan turut mengarahkan khidmat jurubahasa Thailand disediakan bagi Miss Nichakarn.- KOSMO! ONLINE















