PETALING JAYA – Taktik sebuah gudang menyimpan pelbagai produk daging babi sejuk beku yang disyaki diimport tanpa permit di Miri, Sarawak terbongkar selepas diserbu polis menerusi Op Taring Chiller, Khamis lalu.
Operasi kira-kira pukul 8 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan bantuan Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Miri serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Bahagian Miri.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan.
“Pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada rampasan pelbagai produk daging babi sejuk beku termasuk usus babi, pork loin dan pork shoulder dengan jumlah keseluruhan lebih 61 tan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM6,197,060,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai lalu, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 201 serbuan di seluruh negara dengan penahanan 375 individu membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barang tidak berkastam, ketirisan barang kawalan dan bersubsidi, makanan sejuk beku, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.
“Sepanjang tempoh tersebut, jumlah keseluruhan nilai rampasan yang direkodkan dianggarkan sebanyak RM264.86 juta,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan 9(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana mengimport produk tanpa permit, selain kompaun RM25,000 turut dikeluarkan mengikut peruntukan sama. – KOSMO! ONLINE















