PETALING JAYA – Perunding kesihatan, Syed Mohammad Murad Syed Naseem atau Murad “Baddestcoach” Zaidi bertekad untuk membersihkan namanya selepas dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada Februari lalu.
Murad yang juga jurulatih kecergasan berkata, beliau menghormati proses undang-undang dan kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan serta pelanggan selain meneruskan usaha memulihkan reputasi yang dibina selama lebih 15 tahun.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu membuktikan setiap dakwaan perlu dinilai melalui proses perundangan, bukannya berdasarkan andaian atau spekulasi.
“Ini bukan hanya tentang saya. Ini tentang kebenaran, proses undang-undang dan bagaimana reputasi seseorang boleh rosak apabila andaian menggantikan fakta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Majistret Shah Alam memberikan DNAA kepada Murad berhubung satu pertuduhan berkaitan dakwaan mencederakan seorang bekas kakitangan.
Majistret Ameera Mastura Khamis membuat keputusan itu selepas dua pengadu, M. Vijendrakumaraan dan S. Dhivyan memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak mahu meneruskan kes tersebut.
Murad berkata, reputasi yang dibina melalui disiplin, pengorbanan dan konsistensi selama bertahun-tahun boleh musnah dalam sekelip mata jika maklumat tidak benar terus disebarkan.
Katanya, dakwaan tidak berasas bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah turut menjejaskan keluarga, pekerja, rakan perniagaan serta organisasi yang dibangunkannya.
Beliau berkata, semua pertikaian yang masih berbangkit termasuk melibatkan syarikatnya perlu diselesaikan menerusi proses kehakiman kerana mahkamah merupakan tempat menentukan kebenaran berdasarkan bukti, bukannya persepsi awam atau perbicaraan di media sosial.-KOSMO! ONLINE














