fbpx
Gambar Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Thailand yang diadakan hari ini. Foto FACEBOOK SAIFUDIN NASUTION ISMAIL

Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh kerjasama strategik melibatkan pelbagai sektor termasuk keselamatan, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat menerusi Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Thailand yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, mesyuarat itu diadakan susulan pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.

Menurutnya, Malaysia dan Thailand bukan sahaja merupakan negara berjiran, malah kedua-duanya berkongsi kepentingan bersama sebagai rakan strategik dalam pelbagai bidang.

“Pelbagai perkara penting dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, pembangunan kawasan sempadan, keselamatan, pertanian dan keterjaminan makanan, pelancongan, industri halal serta sektor semikonduktor,” katanya.

Saifuddin berkata, bagi Kementerian Dalam Negeri, tumpuan utama adalah memastikan kerjasama rentas sempadan terus diperkukuhkan khususnya dalam aspek keselamatan, pengurusan pintu masuk negara, kawalan imigresen serta kelancaran pergerakan rakyat di kawasan sempadan.

Beliau berkata, usaha memperkukuh kesalinghubungan serantau termasuk di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok turut penting bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi selain memudahkan urusan rakyat di kedua-dua belah sempadan.

Menurutnya, kerjasama yang tersusun antara Malaysia dan Thailand akan memastikan setiap inisiatif yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan lebih pantas sekali gus memberi manfaat kepada rakyat terutama komuniti sempadan yang bergantung kepada kestabilan, keselamatan dan kelancaran aktiviti rentas sempadan.

Tambahnya, hubungan baik antara kedua-dua negara akan terus diperkukuhkan berasaskan sikap saling menghormati, kepercayaan serta komitmen bersama demi keamanan dan kemakmuran rantau ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN