LOS ANGELES – Transformasi yang dibina sejak kekecewaan Piala Dunia 2022 kini mula memberikan impak besar buat Sepanyol apabila mereka memperlihatkan reputasi sebenar sebagai salah satu jaguh bola sepak dunia.
Sejak tewas 0-3 kepada Maghribi pada penentuan penalti dalam pusingan 16 edisi lepas, Luis De La Fuente berjaya mengubah pasukan hingga memperoleh pencapaian luar biasa di pentas antarabangsa.
Sepanyol kini sudah mengharungi 35 perlawanan tanpa sebarang kekalahan di mana La Roja juga sentiasa menjadi pasukan yang mampu mengawal dan mendominasi permainan setiap kali turun ke gelanggang.
Selepas menyingkiran Portugal di pusingan 16, Selasa lalu, status La Roja akan lebih kukuh jika dapat menewaskan Belgium pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, awal pagi esok.
Berdasarkan apa yang disajikan, Sepanyol mampu menghadirkan permainan secara tersusun, memiliki keseimbangan dan cukup sukar ditewaskan hingga menyaksikan mereka masih belum bolos di pentas Piala Dunia 2026.
Walaupun terpaksa berdepan lawan sukar secara berturut-turut, ujian pada aksi dengan Belgium dijangka memberi gambaran sebenar tentang kekuatan Sepanyol untuk melunaskan misi bergelar juara buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.
Walaupun bintang muda sensasinya, Lamine Yamal masih tercari-cari rentak pasukan ekoran kecederaan hamstring, Sepanyol pantas menemui penyelesaian alternatif.
“Dia (Yamal) memberi sumbangan besar kepada pasukan kerana mampu menarik ramai pemain pertahanan lawan untuk menghampirinya. Kami adalah pasukan yang melakukan tugasan menyerang dan bertahan secara berpasukan.
“Barisan pertahanan kami melakukan tugas dengan baik. Jadi, jika kami kekal tanpa bolos sekali lagi, kami makin menghampiri kejuaraan,” kata pemain tengah, Dani Olmo.
Nadi utama kepada kekuatan Sepanyol adalah tidak terlalu bergantung kepada pemain tertentu khususnya dalam menyempurnakan tanggungjawab menjaringkan gol.
Untuk rekod, pada Euro 2024 sebelum ini, Sepanyol menjaringkan 15 gol dengan 10 daripadanya dihasilkan oleh pemain berbeza. – AGENSI














