TUMPAT – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Allahyarham Datuk Ramzi Ab. Rahman meninggal dunia di sisi isteri dan tujuh anaknya selepas hampir setahun terlantar akibat komplikasi buah pinggang dan penyakit strok.
Allahyarham yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun di Hospital KPJ Perdana, Kota Bharu kira-kira pukul 2.40 pagi tadi.
Anaknya, Firdaus Ramzi, 45, berkata, seluruh ahli keluarga sempat berada di sisi Allahyarham sehingga detik-detik terakhir sebelum beliau meninggal dunia.
“Ibu ada bersama ayah hingga akhir hayatnya dan kami tujuh beradik berada di sisinya. Arwah pergi dengan tenang,” katanya ketika ditemui di Masjid Ar-Rahman, Mukim Kubang Batang di sini hari ini.
Firdaus memberitahu, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak minggu lalu selepas mengalami komplikasi penyakit buah pinggang dan strok.
Menurutnya, arwah bapanya sebelum ini terlantar selama 11 bulan apabila kerap keluar dan masuk hospital bagi mendapatkan rawatan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Batang di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Sebelum itu, lebih 500 individu terdiri daripada ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan seperjuangan hadir menunaikan solat jenazah Allahyarham di Masjid Ar-Rahman Mukim Kubang Batang di sini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Kartini Zakaria, 67, tujuh anak dan enam orang cucu. – KOSMO! ONLINE














