BANGKOK – Perkhidmatan kecemasan daerah Sattahip, wilayah Chonburi menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan dikenali sebagai Pailin Sappana,75, yang meminta pertolongan selepas seekor ular besar memasuki kediamannya, lapor akhbar Bangkok Post.
Dalam panggilan sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) itu Pailin berkata, dia bimbang tentang keselamatan keluarganya.
Pasukan penyelamat menghantar seorang pakar menangkap ular ke rumahnya di mana seekor ular sawa panjang lebih 4 meter dengan badan sebesar paha orang dewasa ditemukan bersembunyi di dalam bilik stor.
Penangkap ular menangkap ular itu dan beberapa pembantu mengangkatnya keluar dari rumah Pailin.
Ular itu dimasukkan ke dalam guni untuk dibawa ke habitat liar sebelum dilepaskan.
“Ular ini ular yang sama masuk ke dalam rumah saya sebulan yang lalu dan makan beberapa ekor kucing saya,” kata Pailin. – AGENSI














