fbpx
DJOKOVIC meraikan kemenangan ke atas Felix Auger-Aliassime pada aksi suku akhir perseorangan lelaki Wimbledon di All England Club, London semalam. -AFP

Djokovic atasi ujian lima jam Wimbledon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Pertarungan ibarat maraton selama lima jam 15 minit akhirnya memihak kepada Novak Djokovic apabila legenda Serbia itu bangkit menewaskan Felix Auger-Aliassime dalam aksi suku akhir Wimbledon, sekali gus meneruskan pemburuan gelaran Grand Slam ke-25 dalam kariernya.

Djokovic, 39, terpaksa mengharungi detik mencemaskan apabila mengalami kecederaan pada set pertama, namun enggan mengibarkan bendera putih sebelum bangkit mencatat kemenangan 7-6 (12/10), 3-6, 6-3, 6-7 (4/7), 7-6 (10/4).

Kemenangan dramatik itu turut membolehkan juara tujuh kali Wimbledon berkenaan melakar rekod baharu dengan mara ke separuh akhir buat kali ke-15 di kejohanan berprestij tersebut, sekali gus mengukuhkan lagi statusnya antara pemain tenis terbaik sepanjang zaman.

Cabaran lebih getir menantinya pada separuh akhir apabila bakal membuat perhitungan dengan pemain No. 1 dunia dan juara bertahan, Jannik Sinner, yang mara selepas menewaskan Jan-Lennard Struff dalam tiga set.

Rekod pertemuan kedua-dua pemain dijangka menambah kehangatan aksi tersebut apabila Djokovic memenangi lima daripada 11 pertemuan dengan Sinner, termasuk dua kemenangan di Wimbledon pada 2022 dan 2023.

Bagaimanapun, Sinner berjaya menewaskan Djokovic pada separuh akhir Wimbledon tahun lalu sebelum pemain Serbia itu membalas dendam dengan kemenangan di separuh akhir Terbuka Australia pada Januari lalu.

Mengulas kemenangan penuh dramatik itu, Djokovic mengakui semangat juang menjadi faktor utama yang membolehkannya bertahan sehingga mata terakhir.

“Dengan raket dan hati. Pada penghujung perlawanan, ia benar-benar boleh dimenangi oleh sesiapa sahaja. Inilah detik-detik yang membuatkan saya masih mahu terus bermain tenis,” katanya.

Selain memburu gelaran Grand Slam ke-25, Djokovic turut berpeluang menyamai rekod lapan kejuaraan Wimbledon milik Roger Federer jika berjaya menjulang trofi tahun ini.

Kejayaan mara ke separuh akhir kali ini juga menyaksikan Djokovic mencipta satu lagi rekod apabila menjadi pemain perseorangan lelaki pertama mara ke separuh akhir Wimbledon selama lapan edisi berturut-turut, selain muncul pemain kedua dalam Era Terbuka yang beraksi di kelompok empat terbaik pada usia 39 tahun selepas Ken Rosewall pada 1974. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN