fbpx
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor tidak perkenan solat Jumaat di surau pusat beli-belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu selaras dengan kuasa prerogatif baginda selaku Ketua Agama Islam Selangor dalam menentukan dasar dan pentadbiran hal ehwal agama Islam termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau.

Beliau berkata, antara faktor ketetapan itu ialah bagi memastikan institusi masjid terus dimakmurkan sebagai pusat ibadah utama umat Islam.

“Jika surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia boleh menjejaskan usaha mengimarahkan masjid.

”(Ini) kerana umat Islam mempunyai pilihan lain sehingga berkemungkinan mengurangkan jumlah jemaah di masjid dan surau solat Jumaat sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ketika ini terdapat 448 masjid serta 379 surau yang telah diberikan kebenaran solat Jumaat di Selangor dan jumlah itu disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri ini.

Katanya, terdapat juga masjid dan surau yang berada berhampiran dengan pusat beli-belah bagi memudahkan orang awam untuk mendirikan solat Jumaat.

Salehuddin menambah, solat Jumaat lebih wajar dilaksanakan di masjid atau surau yang dibina khusus sebagai tempat ibadah berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah kerana lazimnya dikaitkan dengan aktiviti perniagaan, hiburan dan rekreasi.

“Bagi umat Islam yang bekerja pula, masa rehat yang ditetapkan adalah mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang berhampiran bagi mendirikan solat Jumaat,” jelasnya.

Kata beliau, MAIS perlu mengambil kira aspek pelantikan imam, bilal dan petugas serta tadbir urus surau sekiranya kebenaran tersebut diberikan.

“Jika petugas tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan aspek pemantauan dan kawalan pengurusan surau termasuk memastikan pematuhan serta keseragaman penyampaian khutbah Jumaat yang disediakan oleh MAIS,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, ketika ini hanya terdapat satu surau atau musolla di pusat beli belah di negeri ini yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat.

“Namun kebenaran ini adalah bersifat sementara kerana kerana tiada masjid yang berdekatan dengan premis ini.

“Bagaimanapun, kebenaran sementara itu akan ditarik balik sekiranya pada masa hadapan sebuah masjid dibina berhampiran pusat beli-belah tersebut dan mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan memaklumkan inisiatif memperluaskan pelaksanaan solat Jumaat di surau-surau pusat beli-belah sedang digerakkan yang mampu menjadi medium bagi memperkukuhkan syiar Islam selain memudahkan urusan masyarakat menunaikan ibadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN