GEORGE TOWN – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong membuat kejutan apabila hadir pada hari pendaftaran anak bekas ‘pilot’ atau pemandunya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Kisah itu baru dikongsikannya menerusi Facebook hari ini, dengan memuat naik beberapa keping gambar bersama keluarga individu berkenaan.
“Dulu masa saya jadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, orang yang paling rapat dengan saya ialah Abang Elias. Dialah ‘pilot’ saya setiap kali saya balik dari Putrajaya ke Penang. Tak kira siang atau malam, dia setia tunggu di airport dan bawak saya ke sana sini.
“Walaupun saya dah lama tak ada di KBS, hubungan kami tak pernah putuih. Abang Elias bukan sekadar pemandu, tapi saya dah anggap dia macam sahabat.
“Baru-baru ni saya dengaq (dengar) anak dia, Ellyna, dapat 9A dalam SPM. Lagi membanggakan, dia sambung belajar di USIM dalam program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, dengan cita-cita nak jadi peguam syarie.
“Abang Elias ada call saya untuk kalau boleh bantu sebuah laptop bagi kat Ellyna. Jadi pada hari pendaftaran masuk USIM, saya buat satu surprise (kejutan) untuk depa (mereka). Dah lama saya tak jumpa Elias, jadi saya bawa sendiri sebuah laptop pi (pergi) kat (dekat) kampus untuk serah sendiri kepada Ellyna,” katanya.
Kongsi Steven Sim merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu lagi, beliau berasa gembira kerana berpeluang berjumpa dengan Elias dan keluarga.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian Ellyna. Ayah ibu kerja keras demi keluarga. Inilah cara anak-anak balas budi kedua orang tua.
“Sebelum balik, saya minta izin daripada Abang Elias untuk ambil Ellyna sebagai anak angkat saya, supaya saya dapat turut jaga kebajikan dia sepanjang belajar di sini.
“Harapan saya, semoga Ellyna terus kuat melangkah, bukan saja dengan ilmu, tapi juga dengan akhlak yang mulia. Saya percaya anak sahabat saya ni akan jadi peguam syarie yang berintegriti dan membela keadilan, bantu orang yang memerlukan kelak,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














