fbpx
Azalina (kiri) pada sesi pembukaan Program BKN 2026 di Putrajaya, hari ini.

Pilihan raya bukan jalan bebaskan sesiapa – Azalina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Tiada sebarang undang-undang di negara ini yang membolehkan individu dibebaskan daripada hukuman hanya kerana keputusan pilihan raya.

Itu tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung naratif ‘undi Barisan Nasional (BN), bebas Najib’ dimainkan segelintir pihak bagi menghangatkan kempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, dakwaan bahawa kemenangan BN dalam PRN Johor boleh membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, perkara berkaitan pembebasan atau pengampunan tidak akan ditentukan melalui pilihan raya.

“Saya dah jawab semalam. Mana ada? Tak ada undang-undang mengatakan pilihan raya boleh membebaskan sesiapa.

“Yang berlaku hari ini ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti saya sebut semalam. Tak ada kena-mengena politik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pembukaan Program Bulan Keselamatan Negara (BKN) 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PRN Johor diadakan awal semata-mata kerana ada pihak yang mahu kembali berkuasa demi membebaskan Najib.

Naratif sama turut dimainkan calon-calon PH ketika berkempen di PRN itu.

Dalam perkembangan sama, Azalina turut melahirkan keyakinan terhadap jentera BN yang disifatkannya menjalankan kempen secara teratur dan tersusun di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Katanya, sebagai parti yang mempunyai pengalaman panjang dalam politik negara, BN memberi tumpuan kepada isu-isu yang menjadi keutamaan rakyat di negeri berkenaan.

“Saya tengok kempen-kempen BN di DUN-DUN memang sangat teratur. Cara kita berkempen banyak memberi fokus kepada keutamaan rakyat dalam negeri tersebut.

“Kita juga ada program keluarga angkat dari negeri-negeri lain yang banyak membantu memperkukuhkan kempen serta memberi penekanan kepada isu-isu tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN