Membeli masa. Strategi ini kerap dilihat dalam peperangan sejak zaman berzaman.
Ia digunakan untuk melengahkan masa, sementara menunggu bantuan tiba atau membina semula kekuatan, manakala taktik ini pernah digunakan Israel dalam perang menentang negara-negara Arab berdekad-dekad lalu.
Lewat Jun lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat pusingan-U apabila mengumumkan memorandum persefahaman (MoU) untuk menamatkan pertempuran dengan Iran walaupun menerima bantahan keras Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Ia adalah sambungan kepada gencatan senjata sebelumnya yang menyaksikan perang Asia Barat berakhir.
Penamatan pertempuran itu kata Trump, untuk memberi ruang kepada Amerika dan Iran berunding bagi menamatkan perang dan mencari penyelesaian kepada isu utama iaitu program nuklear Tehran dan pembukaan semula Selat Hormuz serta peluang ke arah keamanan berkekalan di Asia Barat.
Pasaran minyak dunia dan kewangan antarabangsa menyambut baik perkembangan itu, begitu juga para pemimpin dunia serta media Barat.
Namun, beberapa penganalisis politik termasuk seorang profesor dari China sangsi perang Asia Barat sudah berakhir.
Bagi mereka, keamanan semasa tidak lebih daripada Washington melengah-lengahkan waktu untuk melengkapkan persiapan perang termasuk bekalan misil, dron serta ketumbukan tentera.
Menurut mereka, Israel tidak akan berdiam diri selagi Iran diperintah oleh kerajaan sedia ada.
Isu program nuklear Iran sepatutnya selesai apabila Washington dan Tehran menandatangani perjanjian mengenainya semasa pentadbiran Presiden Barack Obama.
Israel menentang perjanjian itu yang dianggap lemah dan melobi Presiden Amerika seterusnya supaya Washington menarik diri.
Perjanjian gencatan senjata antara Amerika dan Iran pada Jun lalu juga kerana terpaksa. Trump perlu mengalihkan perhatian kepada isu dalam negara terutamanya persiapan pilihan raya separuh penggal yang bakal menjelang November ini.
Beliau tidak boleh kehilangan kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat kepada Parti Demokrat sedangkan majoriti rakyat Amerika sekarang menentang Washington menghantar tentera untuk memerangi Iran.
Namun, beberapa penganalisis ini meramalkan bahawa kemuncak konflik akan berlaku awal tahun 2027.
Mereka menjangkakan Amerika akan menghantar ratusan ribu askar untuk menumbangkan rejim Iran kerana itulah satu-satunya cara untuk merealisasikan matlamat Israel dan Washington.
Iran hanya boleh dikalahkan melalui serangan darat, namun harga yang perlu dibayar Amerika adalah sangat tinggi.















