DI sebalik deras arus pemodenan dan ledakan teknologi, masih ada insan teguh berdiri mempertahankan akar budaya bangsa.
Itu yang dilakukan Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris yang memilih menyuburkan khazanah Melayu agar tidak sekadar menjadi helaian sejarah, sebaliknya menjadi nadi kehidupan generasi mendatang ketika penggiat seni berlumba mengejar trend baharu.
Selepas hampir tiga dekad memperjuangkan seni dan budaya Melayu sejak 1996, Noraniza terus mengukuhkan komitmennya menerusi Zapin Living Lab – AKZ6.0, sebuah platform pendidikan budaya menghubungkan pemindahan ilmu warisan, pembangunan komuniti, industri kreatif dan pelancongan budaya.
Selaku Pengasas Akar Kita Zapin (AKZ) sejak 2012, dia berjaya membina sebuah ekosistem pembangunan bakat memberi ruang kepada generasi baharu mempelajari zapin secara lebih tersusun berasaskan penyelidikan, dokumentasi serta pengalaman bersama pewaris dan penerus warisan.
Program anjuran bersama Persatuan Tatihseni Malaysia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tersebut menjadi kesinambungan perjalanan AKZ selama lebih sedekad, kini memasuki musim keenam dengan memperkenalkan pendekatan baharu menerusi konsep Tingkah Laga Zapin, sebuah disiplin permainan zapin tradisional Melayu menekankan ilmu, strategi, komunikasi, adab serta kebijaksanaan ketika persembahan.
Menurut pemilik nama sebenar Nor Aniza Idris itu, perjuangan memartabatkan zapin sebenarnya bermula sejak zaman kanak-kanak lagi apabila arwah datuknya memperkenalkan tarian tersebut kepadanya.
“Saya masih ingat ketika berusia sekitar tujuh tahun, arwah datuk menunjukkan kepada saya bagaimana orang tua-tua bermain zapin.
“Ketika itu saya belum memahami sepenuhnya maksud permainan tersebut.
“Apabila meningkat dewasa, barulah saya sedar zapin bukan sekadar tarian tetapi sebuah sistem ilmu dengan nilai sangat tinggi.
“Hari ini ramai mengenali zapin sebagai persembahan pentas sedangkan masyarakat Melayu dahulu mengenalinya sebagai satu budaya hidup,” katanya kepada HibGlam.

Tambah penghibur berusia 58 tahun itu, istilah Tingkah Laga Zapin sering disalah tafsir sebagai pertandingan atau perbalahan sedangkan makna sebenar jauh lebih mendalam.
“Tingkah Laga bukan perbalahan. Tingkah Laga adalah kebijaksanaan Melayu.
“Permainan ini mengajar peserta membaca gerakan lawan, memahami tertib jual beli ragam, mengawal emosi, menghormati pasangan bermain serta menyelesaikan cabaran melalui strategi dan kesantunan,” jelasnya.
Atas kesedaran semakin kurang ruang pembelajaran menghimpunkan pewaris serta generasi pelapis, pelantun Hatinya Tak Tahan itu menubuhkan Zapin Living Lab sebagai medan perkongsian ilmu secara langsung daripada pewaris asal.
Istimewanya AKZ6.0, buat julung kali tujuh aliran Zapin Warisan Johor dihimpunkan dalam satu modul pembelajaran tersusun.
“Sudah lama saya mengimpikan AKZ menjadi tempat berhimpunnya insan-insan bijaksana dalam dunia zapin. Saya bukan adiguru. Saya hanyalah penyambung legasi diberi amanah mempertemukan pewaris bersama generasi pelapis agar ilmu mereka terus hidup,” ungkapnya.
Antara pewaris dan penerus hadir menjayakan program termasuk Mohamad Akmal Zainal Abidin (Zapin Pekajang), Majid Rawino (Zapin Lenga), Mohamad Faizal Abas (Zapin Koris), Profesor Dr. Mohd. Anis Md. Nor (Zapin Melayu Johor), Diana Sulaiman (Zapin Seri Bunian), Noliza Salleh (Zapin Tenglu) serta Zubaidah Keliwon (Zapin Parit Mastar).
Program turut mendapat sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi pengiktirafan PAJSK kepada murid serta guru. Dalam masa sama, Noraniza melihat warisan budaya sebagai sebahagian daripada rantaian ekonomi kreatif negara.
“Apabila budaya dipersembahkan secara profesional, peluang terbuka kepada penulis lagu, komposer, penyusun muzik, pemuzik tradisional, penyanyi, penari, koreografer, pereka busana, tenaga produksi, jurukamera serta pencipta kandungan digital.
“Apabila budaya dipersembahkan bersama ilmu, pelancong bukan sekadar datang menonton. Mereka pulang bersama kefahaman dan penghargaan terhadap identiti Malaysia,” kongsinya.
Sebagai antara pelopor irama etnik kreatif, Noraniza menolak tanggapan muzik tradisional sudah lapuk ditelan zaman.
“Muzik tradisional ialah identiti sesebuah bangsa. Teknologi tidak menghapuskan budaya. Teknologi ialah medium memperluaskan budaya,” tutupnya.
Kemuncak majlis menyaksikan pelancaran rasmi Zapin Living Lab – AKZ6.0 disempurnakan Penaung Akar Kita Zapin, YM Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.















