fbpx
Antara warga asing yang ditahan menerusi Ops Kutip yang dilaksanakan JIM WPKL dan DBKL semalam.

200 warga asing ditahan JIM di pasar malam Taman Maluri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 200 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu Ops Kutip di Pasar Malam Taman Maluri, Cheras di sini, semalam.

Operasi yang bermula kira-kira pukul 6 petang itu dijalankan JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil risikan selama dua minggu.

Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, sepanjang operasi itu, seramai 500 individu diperiksa melibatkan 407 warga asing dan 93 warga tempatan.

Menurut Hamsha, jumlah tangkapan ialah 200 orang, iaitu mengikut pecahan, 125 lelaki dan 75 wanita terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, China, Pakistan dan India.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, menyalahgunakan pas lawatan atau pas kerja serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

“Lokasi ini jadi sasaran berdasarkan kepada aduan yang kita terima daripada masyarakat setempat. Kebanyakannya warga asing membanjiri kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) ini akan melalui proses verifikasi selanjutnya di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Duta.

“Sekiranya pemeriksaan mendapati mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, mereka akan dibebaskan.

“Selepas verifikasi, mereka yang disyaki benar-benar melanggar syarat atau peraturan hal ehwal imigresen akan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Katanya, JIM akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan bagi mengekang dan menggagalkan kemasukan PATI termasuk tindakan terhadap pihak yang bersubahat.

“Jabatan ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada PATI, malah turut memberi fokus kepada majikan, pemilik premis, ejen, sindiket serta mana-mana individu yang menggaji dan melindungi warga asing berada di negara ini secara tidak sah.

“Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen dan akan terus melaksanakan operasi secara profesional, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN