BANDAR RAYA NEW YORK – Kegembiraan sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat bertukar menjadi tragedi berdarah apabila lapan individu, termasuk empat kanak-kanak, cedera dalam satu insiden tembakan rambang ketika menyaksikan pertunjukan bunga api di Brooklyn, New York, pada malam Sabtu lalu, lapor agensi berita New York Post.
Menurut sumber polis dan rakaman video di lokasi, kejadian berlaku kira-kira jam 10:35 malam waktu tempatan pada Sabtu lalu di pekarangan Pangsapuri Seapark, Coney Island. Lokasi
tersebut terletak berhampiran kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai bagi menyaksikan pertunjukan bunga api.
Suasana panik melanda kawasan berkenaan sejurus tembakan dilepaskan, memaksa anggota polis yang bertugas bergegas ke tempat kejadian.
Beberapa rakaman video menunjukkan detik cemas anggota penyelamat mendukung mangsa-mangsa yang masih kecil dalam usaha menyelamatkan nyawa mereka.
“Apabila saya melihat melalui kamera keselamatan, saya nampak anggota polis berlari sambil mendukung kanak-kanak.
“Apabila saya keluar, saya melihat seorang kanak-kanak dimasukkan ke dalam ambulans dan dimaklumkan ada empat lagi mangsa di dalam,” ,” kata seorang pekerja kedai runcit berhampiran.
Pihak polis belum mendedahkan jumlah sebenar suspek yang terlibat mahupun motif di sebalik serangan tersebut.
Walau bagaimanapun, penduduk tempatan mendakwa blok perumahan tersebut sememangnya terkenal dengan keganasan. – AGENSI














