PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, antara negeri yang dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang ialah Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.
Di Pahang, kawasan terjejas termasuk Lipis, Raub, Maran, Bera, Pekan dan Rompin, manakala di Perak membabitkan Hulu Perak sahaja.
Turut terlibat ialah Selangor (Hulu Selangor), Johor (Tangkak, Segamat dan Muar) dan Melaka.
Sementara itu, di Pantai Timur, amaran melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang selain Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran sama bagi beberapa bahagian di Sarawak termasuk Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Miri (Marudi) dan Limbang.
Di Sabah pula lokasi terlibat ialah kawasan pedalaman (Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Telupid).
“Bagi Negeri Sembilan, keadaan cuaca buruk dijangka melanda di daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














