GEORGE TOWN – Selepas menggemparkan pasaran dengan pelbagai perisa buah-buahan, minuman dan pencuci mulut, kini muncul pula vape berperisa kari yang didakwa dijual di Pulau Pinang, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai taktik sesetengah pihak untuk menjerat golongan remaja.
Perisa baharu yang cukup sinonim dengan hidangan masyarakat tempatan itu dipercayai dihasilkan untuk mengumpan dan menarik minat pengguna baharu khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Mendedahkan perkara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengakui trend tersebut sebagai perkembangan membimbangkan kerana pengeluar vape dilihat tidak pernah berhenti menghasilkan perisa unik bagi memastikan produk mereka terus mendapat perhatian pasaran.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N. V. Subbarow berkata, vape perisa baharu itu ditemukan hasil makluman yang diperoleh baru-baru ini daripada pengusaha vape di negeri ini hasil tinjauan pihaknya.
“Perisa kari atau gulai yang sinonim dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang dilihat menjadi antara faktor utama menarik golongan muda untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Sebelum ini, perisa vape lebih tertumpu kepada rasa buah-buahan seperti strawberi, mangga, laici dan blueberry, tetapi kini semakin banyak variasi baharu diperkenalkan untuk menarik pengguna.
“Kami dimaklumkan mengenai vape berperisa kari yang dijual di Pulau Pinang daripada pengusahanya sendiri dan dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM15. Perkara ini menunjukkan industri tersebut sentiasa menghasilkan perisa baharu untuk menarik pengguna,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Beliau berkata, lambakan perisa vape di pasaran dibimbangi akan menyebabkan lebih ramai remaja dan pelajar terpengaruh untuk mencubanya kerana menganggap ia lebih menarik berbanding rokok konvensional.
“CAP sudah bertahun-tahun berjuang tentang bahayanya vape kepada pengguna. Kemunculan vape perisa baharu ini berupaya mengubah corak hidup remaja kepada penyalahgunaan dadah yang lebih teruk.
“Mula-mula mereka ambil vape perisa buah-buahan dan jika mahu rasa lebih spicy (berempah), maka mereka boleh cuba perisa kari.
“Konon mahu nampak macho dan bila sudah ketagih, mereka mulalah terjebak dengan vape ‘mushroom’ dan dadah Piu Piu pula.
“Paling membimbangkan CAP apabila ramai pengguna terutama anak muda menganggap peranti elektronik tersebut memberi ketenangan selain mempunyai aroma yang lebih menyenangkan,” dedahnya.
Dalam pada itu, dakwa Subbarow, isu vape dalam kalangan pelajar di sekolah dikatakan semakin menjadi-jadi sehinggakan ada guru yang mengadu dan menangis kerana terlalu kecewa dengan situasi berkenaan.
“Ada dalam kalangan guru meluahkan rasa sedih kerana mereka telah berusaha mendidik pelajar menjadi insan yang baik, namun sebahagiannya akhirnya terjebak dengan gejala tidak sihat.
“Pernah saya hadir satu program di sekolah, ada guru yang menangis kerana terlalu sedih. Mereka memaklumkan yang sekolah telah memberikan pendidikan yang baik dan menerapkan nilai-nilai murni, tetapi pengaruh negatif dari luar semakin sukar dikawal,” katanya.
Beliau berkata, isu vape dalam kalangan pelajar sememangnya memerlukan tindakan segera daripada semua pihak termasuk kerajaan, sekolah serta ibu bapa.
“Jika tindakan terus ditangguhkan, kita bimbang masa depan generasi muda akan terjejas dan masalah keruntuhan akhlak menjadi semakin serius,” katanya.
Sehubungan itu, CAP mengulangi gesaan terhadap kerajaan supaya mengambil tindakan lebih tegas bagi melindungi kesihatan pengguna, sekali gus mengharamkan penjualan vape dalam kadar segera.
Tambahnya, isu tersebut perlu dipandang serius bagi melindungi generasi muda daripada terus terdedah kepada budaya penggunaan vape dan bahan terlarang seperti dadah.















