fbpx
PENGENDALI Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino turun ketika sesi latihan di Stadium Bola Sepak Husky, Seattle menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Belgium. – AFP

Piala Dunia 2026: Bimbang strategi bocor, AS ‘pagar’ pusat latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEATTLE – Pengendali Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino mengambil langkah berhati-hati dengan mengarahkan pagar dipasang di sekitar kem pusat latihan pasukannya bagi mengelakkan taktikal mereka ‘diintip’ menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Belgium, Isnin ini.

Tindakan itu dibuat selepas AS mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2002 menerusi kemenangan 2-0 ke atas Bosnia & Herzegovina pada aksi pusingan 32 terbaik di Seattle.

Menjelang pertemuan getir dengan Belgium, skuad kendalian Pochettino menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Husky, Universiti Washington, iaitu venue sama yang digunakan sebelum aksi peringkat kumpulan menentang Australia.

Bagaimanapun, perhatian terarah kepada Pochettino apabila beliau dilihat memanjat kawasan tinggi berhampiran padang latihan sambil merakam keadaan sekeliling menggunakan telefon bimbit bagi menilai tahap keselamatan lokasi tersebut.

Bekas pengendali Tottenham Hotspur, Paris Saint-Germain dan Chelsea itu menjelaskan tindakannya bukan sesuatu yang pelik, sebaliknya mahu memastikan tiada pihak luar berpeluang mengintip sesi latihan pasukannya.

“Saya hanya mahu melihat keadaan kerana sekarang kita berada dalam era perisik. Ia peluang yang baik untuk melihat keadaan dari luar,” katanya.

Pochettino berkata, rakaman video itu kemudiannya diserahkan kepada ketua keselamatan pasukan, Jerry, bagi menilai sama ada terdapat ruang yang boleh digunakan individu luar untuk memerhati latihan skuad AS.

Kebimbangan Pochettino bukan tanpa asas kerana insiden mengintip sesi latihan semakin kerap berlaku dalam bola sepak, sekali gus mendorong beliau mengambil langkah lebih tegas bagi memastikan segala perancangan taktikal menjelang pertemuan dengan Belgium kekal menjadi rahsia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN