TEXAS – Sepanyol mula memberi tekanan kepada Portugal menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Dallas awal pagi esok.
Skuad La Roja yang menggalas status sebagai juara Eropah menampilkan aksi cukup baik pada edisi kali ini apabila menang tiga perlawanan terakhir selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Cape Verde ketika aksi pembukaan.
Pemain sayap lincah Sepanyol, Lamine Yamal melaungkan amaran bahawa mereka langsung tidak gerun dengan mana-mana pasukan, termasuk Portugal yang bakal menjadi halangan untuk ke pusingan suku akhir.
Yamal berkata, dia dan rakan sepasukan tidak kisah bertemu dengan mana-mana pasukan sekali pun kerana menganggap Sepanyol memiliki kualiti yang cukup baik selain mampu untuk mencatat kemenangan.
“Kami langsung tidak takut dengan mana-mana pasukan kerana kami adalah Sepanyol. Jadi, kami perlu tunjukkan kekuatan yang ada apabila melangkah masuk ke dalam padang dan percaya dengan kemampuan diri.
“Bagaimanapun, masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki dari segi kualiti permainan dan intensiti. Secara keseluruhan, kami tahu di manakah tahap kemampuan pasukan dan disebabkan itu kami yakin,” katanya.
Sepanyol dianggap memiliki peluang lebih cerah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas mudah membenam Austria 3-0 di pusingan 32 terbaik berbanding Portugal yang terpaksa bekerja keras menewaskan Croatia 2-1.
Sementara itu, Yamal turut menyuarakan rasa teruja untuk beraksi menentang legenda Portugal, Cristiano Ronaldo tetapi dia menegaskan, kemenangan pasukan menjadi keutamaan pada ketika ini.
“Sudah tentu menjadi satu penghormatan untuk bermain menentang Cristiano (Ronaldo), namun pencapaian pasukan lebih penting berbanding agenda peribadi. Buat masa sekarang, fokus saya adalah untuk menang,” ujarnya. – AGENSI














