TEMERLOH – Biarpun usia 68 tahun, seorang bekas anggota tentera tidak pernah mengalah terhadap cabaran apabila sekali lagi memulakan kayuhan basikal secara solo merentasi ribuan kilometer menuju ke Mekah.
Sidek Ahmad Ali yang berasal dari Sungai Rambai, Melaka itu memulakan misi terbaharunya tiga hari lalu dengan sasaran tiba di Mekah sekitar Oktober depan.
Pada 24 Januari 2025, dia pernah mencipta kejayaan menamatkan kayuhan solo ke Mekah sebelum tiba di Tanah Suci.
“Saya kayuh sebuah basikal berharga kira-kira RM4,000 yang dibeli sendiri dengan sedikit tajaan daripada penjual,” katanya di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di sini semalam.
Bekas anggota Rejimen Askar Melayu itu berkata, sepanjang berada di Malaysia, dia akan mengayuh sekitar 50 kilometer (km) setiap hari sebelum meneruskan perjalanan melalui Jerantut, Gua
Musang dan Rantau Panjang untuk memasuki Thailand.
“Pengalaman ekspedisi terdahulu banyak mengajar saya mengenai cabaran perjalanan rentas negara, terutama ketika melalui India yang disifatkan sebagai antara laluan paling mencabar dari aspek keselamatan.
“Saya tidak dibenarkan bermalam di masjid atau rumah penduduk ketika berada di India. Saya juga pernah berdepan ribut pasir ketika menghampiri Madinah dan Mekah,” ujarnya.
Bapa kepada lapan anak lelaki dan lapan anak perempuan itu berkata, pengalaman mengelilingi Semenanjung Malaysia sebanyak 13 kali dengan kayuhan melebihi 50,000km menjadi bekalan paling berharga untuk menghadapi misi kali ini.
Katanya, jarak perjalanan dari Melaka ke Mekah dianggarkan sejauh antara 7,000 hingga 9,000km bergantung kepada laluan dipilih.














