fbpx
ENGLAND dijangka berdepan cabaran sukar ketika bertemu Mexico kerana perlu bermain di stadium altitud tinggi. – FB ENGLAND FOOTBALL TEAM

Piala Dunia 2026: England tidak gentar ‘kubu’ Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEXICO CITY – Kapten England, Harry Kane mengakui pasu­kan itu tidak akan berdepan laluan mudah menjelang pu­singan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Mexi­co di Stadium Mexico City pagi esok.

Mexico dijangka turun de­ngan motivasi cukup tinggi kerana bermain di laman sendiri selain memiliki kelebihan beraksi di stadium altitud tinggi yang sememangnya sudah menjadi kebia­saan buat mereka.

Walaupun hampir dimalukan Congo pada aksi 32 terbaik sebelum ini, namun Kane menyifatkan pertemuan menentang Mexico bakal menjadi ujian sebenar skuad The Three Lions dalam saingan Piala Dunia kali ini.

Justeru, dia menggesa rakan sepasukan supaya menjadikan cabaran itu sebagai pembakar semangat kerana mereka wajib menewaskan pasukan-pasukan terbaik untuk menjulang trofi Piala Dunia.

“Saya hanya mahu menikmati buat seketika kemenangan ke atas Congo kerana selepas ini ada perlawanan (menentang Mexico) lebih sukar. Mexico adalah pasukan besar, lebih-le­bih lagi mereka bermain di laman sendiri.

“Suasana perlawanan pasti sangat menakjubkan dan situa­si itu mampu memberikan tekanan kepada mana-mana pasukan. Bagaimanapun, jika mahu menjadi juara dunia, kami perlu menang perlawanan seperti ini,” katanya.

Sebagai rekod, skuad The Three Lions menampilkan aksi cukup baik pada kempen kali ini apabila masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan berpeluang mengulangi pencapaian mara ke suku akhir seperti edisi empat tahun lalu di Qatar.

Sementara itu, Kane juga memberi peringatan kepada rakan sepasukan supaya mendapatkan rehat secukupnya sebelum mereka melangkah masuk ke kubu pasukan lawan yang bakal menjadi medan ‘pepera­ngan’ epik.

“Buat masa sekarang, kami hanya perlu berehat dan bertenang sebelum mengalih sepenuh perhatian kepada aksi menentang Mexico nanti,” ujar­nya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN