SUNGAI GOLOK, THAILAND – Dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan bom di Tak Bai, Narathiwat, di sini pada Isnin lalu menerima pampasan sebanyak hampir RM80,000 daripada Kerajaan Thailand.
Pampasan berjumlah 650,000 baht (RM79,823) itu disalurkan selepas Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul memberi arahan terus untuk membantu mangsa menerusi Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan.
Daripada jumlah tersebut, bantuan kewangan awal sebanyak RM7,368 diperuntukkan kepada kedua-dua mangsa bagi kecederaan fizikal yang dialami meliputi RM1,228 untuk kecederaan ringan dan RM6,140 bagi kecederaan serius.
Pemilik kenderaan utiliti sukan Proton X50, Muhammad Yusri Udin, 38, pula menerima pampasan keseluruhan sebanyak RM79,823 selepas kenderaannya mengalami kerosakan teruk dalam letupan yang berlaku kira-kira pukul 11.41 pagi itu.
Pampasan tersebut disampaikan oleh Gabenor Narathiwat, Boonchuey Homyamyen dalam satu majlis di Rumah Kastam Bangunan Lintasan Sempadan di sini petang semalam.
Boonchuey berkata, pampasan itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban kedua-dua mangsa, ia turut membuktikan keikhlasan Wilayah Narathiwat dan kerajaan Thailand dalam menjaga kebajikan mereka yang terjejas akibat pergolakan di selatan negara itu.
“Pampasan itu adalah bayaran akibat kecederaan dan kerosakan harta benda yang dialami rakyat asing susulan pergolakan yang berlaku di Tak Bai. Ia juga bertujuan meningkatkan semangat mangsa dan memberi galakan selain mengurangkan penderitaan mereka yang terjejas akibat pergolakan itu.
“Kami mengucapkan takziah kepada mangsa atas insiden itu dan sekali lagi menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan leka dalam memastikan keselamatan rakyat serta pelancong asing,” katanya.
Boonchuey memberitahu, semua agensi keselamatan akan terus digembleng bagi memperketat kawalan ke tahap tertinggi untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan pelancong terhadap tahap keselamatan di Wilayah Narathiwat.
Katanya, Pusat Pentadbiran Wilayah Narathiwat dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand akan meneruskan pelbagai aktiviti bagi menarik semula pelancong ke wilayah berkenaan.
Difahamkan seorang lagi rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden sama, Abdullah Syarapi Abd. Rahman, 45, turut akan menerima pampasan dalam masa terdekat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua rakyat Malaysia cedera selepas SUV jenis Proton X50 dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED) yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Tak Bai, pada Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 11.45 pagi itu, Abdullah Syarapi dan Muhammad Yusri mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Komander Pasukan Petugas Khas Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Yodawut Phungpha tidak menolak kemungkinan kejadian dilakukan oleh kumpulan pemisah.
Katanya, siasatan mendapati, perbuatan tersebut menyamai tindakan kumpulan berkenaan di tiga wilayah Selatan Thailand berdasarkan kes-kes yang berlaku sebelum ini.
Katanya, walaupun serangan IED di Tak Bai itu menyasarkan kenderaan pasukan keselamatan, ancaman kumpulan itu dilihat tidak lagi memilih sasaran. – KOSMO! ONLINE














