PUTRAJAYA – Kerajaan terus menggandakan usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan berhubung kemudahan pembiayaan mikro bernilai lebih RM5 bilion yang disediakan menerusi pelbagai agensi agar lebih ramai golongan yang layak dapat menerima akses kepada bantuan berkenaan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, tahap kesedaran mengenai kemudahan tersebut masih perlu dipertingkatkan dengan semua agensi berkaitan akan digerakkan secara bersama untuk turun padang terutamanya bagi mendekati peniaga kecil.
“Seperti yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kerajaan menyediakan lebih RM5 bilion dari segi nilai mikro kredit melalui agensi-agensi utama seperti Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Apa yang sedang dilaksanakan ialah memandangkan nampaknya kurang dari segi kesedarannya. Dengan itu, usaha telah dibuat untuk semua agensi yang berkaitan, bergabung bersama untuk turun padang, hari ini di Pasar Tani Putrajaya yang ada lebih 124 peniaga,” katanya menerusi sidang akhbar selepas program Lawatan Pasar Tani Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa sebahagian besar peniaga yang ditemui hari ini telah menerima pembiayaan daripada agensi kerajaan, namun usaha berkenaan akan terus dipergiat bagi memastikan lebih ramai usahawan yang memerlukan bantuan kewangan mendapat akses kepada kemudahan disediakan.
Katanya, hasil tinjauan turut mendapati kebanyakan penerima pembiayaan kekal mendapatkan kemudahan daripada agensi sama dalam tempoh yang panjang, malah ada yang telah memohon sehingga 26 kali. – KOSMO! ONLINE














