DUNGUN – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kategori mental dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjatuh dari jambatan di Jalan Jabor-Paka berhampiran Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Nor Haslini Din, 47, dipercayai dihanyutkan arus sungai selepas terjatuh dari jambatan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, bapa mangsa, Din Zakaria, 77, dikatakan cuba menyelamatkannya tetapi gagal.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan sehingga dua kilometer dari lokasi Nor Haslini dikatakan terjatuh,” ujarnya.
Beliau berkata, bagaimanapun operasi SAR yang melibatkan anggota pelbagai agensi masih belum menemui wanita itu. – KOSMO! ONLINE














