JOHOR BAHRU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan penting sebagai pemangkin kebangkitan gabungan itu untuk kembali mentadbir negara sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Johor akan menjadi penanda aras kepada siri pilihan raya seterusnya termasuk PRN Negeri Sembilan dan Melaka sebelum berdepan PRU16.
Menurutnya, kemenangan di Johor diyakini mampu mencetuskan gelombang sokongan baharu kepada BN di peringkat nasional.
“Johor akan menjadi penanda aras kepada pilihan raya seterusnya. Seminggu selepas Johor, PRN Negeri Sembilan pula akan bermula dan kita berharap kemenangan di Johor akan diterjemahkan di negeri-negeri lain.
“Selepas itu Melaka dan seterusnya PRU16. Kita berharap kemenangan di tiga negeri ini menjadi suntikan semangat kepada kepimpinan serta jentera BN di seluruh negara untuk kembali berada di persada politik nasional,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Masyarakat di Kempas, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memastikan sasaran itu menjadi kenyataan.
“Cuma tinggal seminggu sahaja lagi. Saya yakin jika kita bekerja kuat, ikhlas dan terus menyantuni pengundi, kemenangan akan berpihak kepada calon-calon BN,” katanya. – KOSMO! ONLINE














