TAIPING – Lima warden penjara mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas pertuduhan memukul tiga banduan hingga menyebabkan kecederaan di Penjara Taiping pada Januari tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Hairie Jumri, 40; Saiful Azman Mohamad Ibrahim, 44; Ahmad Rizal Razali, 37; Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, 40, dan Nor Hafiz Izwan Muhammad Jajam, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret R. Prabakaran dan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Di hadapan Prabakaran, Mohd. Hairie dan Saiful Azman didakwa secara bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap P. Jason Immanuel, 25, menggunakan cota.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan B, Penjara Taiping, Jalan Taming Sari Taiping, antara pukul 3 hingga 4 petang pada 17 Januari 2025.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding di mahkamah sama, Ahmad Rizal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap V. Naveen Kumar, 32, di luar Dewan B, Penjara Taiping antara pukul 3 petang hingga 4.15 petang pada tarikh sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Fazial mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin, selain mengenakan syarat tambahan supaya mereka tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam bela, Aqmarul Aqil Ismail yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya yang memperoleh pendapatan RM4,000 sebulan masing-masing mempunyai tanggungan isteri dan anak.
Beliau turut memaklumkan Ahmad Rizal menghidap masalah psikiatri dan sedang menerima rawatan secara berkala di Hospital Taiping.
Prabakaran kemudian membenarkan Mohd. Hairie dan Saiful Azman diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dengan dua penjamin, manakala Ahmad Rizal dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan syarat yang sama.
Selain itu, syarat tambahan turut dikenakan terhadap Mohd. Hairie dan Saiful Azman iaitu tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai dan melapor diri pada setiap awal bulan di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 7 September depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, di hadapan Ahmad Hamdi, Muhamad Mustakhim dan Nor Hafiz Izwan turut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu secara bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap G. Yugarajan, 30, di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, Muhamad Mustakhim yang diwakili peguam bela, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin dan Nor Hafiz yang diwakili Aqmarul Aqil memohon jaminan minimum dikenakan terhadap anak guam masing-masing, iaitu sebanyak RM2,000.
Ahmad Hamdi membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh dan menetapkan 8 September depan untuk tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.
Dalam pada itu, tinjauan di luar mahkamah mendapati rakan-rakan tertuduh yang hadir membuat kepungan bagi mengelakkan gambar dirakam pihak media.
Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memulakan siasatan awam berhubung dakwaan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E.
Kejadian itu menyebabkan seorang tahanan, Gan Chin Eng, 61, maut.
Susulan itu, pada 19 Disember 2025, seorang warden penjara, Ryndee O’nel Victor, 25, didakwa di Mahkamah Majistret Taiping di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat berhubung insiden sama. – KOSMO! ONLINE














