PETALING JAYA – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Setiausaha Politiknya, Tony Pua Kiam Wee mempertahankan keputusan merasionalisasikan projek Laluan Rel Transit 3 (LRT3) dengan mendakwa langkah itu berjaya menjimatkan RM15.02 bilion tanpa menjejaskan fungsi sistem pengangkutan tersebut.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Guan Eng dan Tony Pua berkata, projek LRT3 tidak pernah dihentikan atau digantung sepanjang tempoh pentadbiran mereka antara 2018 hingga 2020, sebaliknya diteruskan sebagai projek kritikal sambil melalui proses semakan kos.
Menurut mereka, semakan dibuat selepas Prasarana mengemukakan cadangan belanjawan baharu sebanyak RM31.65 bilion pada Mac 2018, jauh lebih tinggi berbanding kelulusan asal RM9 bilion selain melibatkan permohonan tambahan jaminan kerajaan sebanyak RM22 bilion.
Katanya, kerajaan ketika itu melantik perunding kejuruteraan bebas bagi menilai semula skop projek dan memastikan ia memenuhi keperluan penumpang serta memberikan nilai terbaik kepada wang rakyat.
“Hasil semakan itu, Jemaah Menteri meluluskan pengurangan kos daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, sekali gus menghasilkan penjimatan sebanyak RM15.02 bilion.
“Penjimatan itu dicapai tanpa mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT, malah membolehkan kerajaan memperuntukkan semula dana kepada keperluan pembangunan lain,” katanya.
Menurutnya, antara langkah yang diambil ialah mengurangkan bilangan tren tambahan, menangguhkan pembinaan lima stesen yang mempunyai unjuran penumpang rendah serta memansuhkan model Project Delivery Partner (PDP) bagi mengelakkan peningkatan kos projek.
Bagaimanapun, mereka menjelaskan lima stesen yang ditangguhkan itu kini telah dimasukkan semula dalam pelaksanaan semasa bersama kontrak fasa kedua menyebabkan nilai projek meningkat kepada RM21.93 bilion, namun jumlah itu masih lebih rendah berbanding anggaran asal RM31.65 bilion.
Tambahnya, kerajaan masih menikmati penjimatan lebih RM9.72 bilion selain dijangka menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi daripada kos faedah pembiayaan sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Guan Eng dan Tony Pua telah mengecilkan kos pelaburan projek LRT3 sehingga saiz stesen, jumlah gerabak serta lima cadangan stesen dikurangkan, walaupun projek itu dibina demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE














