PETALING JAYA – Terlihat kuat pada pandangan umum, namun pelakon Fazura tidak mampu menahan air mata saat merakamkan single terbaharunya berjudul Kisah Terbaik lantaran terkenang derita batin yang dilalui sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Akui ibu tunggal anak satu itu, terlalu banyak dugaan hidup yang dilaluinya sebelum ini yang tidak diceritakan kepada umum kerana dia sering memilih untuk tidak nampak lemah pada mata khalayak.
“Perjalanan nak sampai kepada sekarang ini, ada ujian daripada Allah, liku-liku dan yang buat saya sedih serta sayu ialah apabila melihat semua yang dilalui dalam hidup terutama dalam tempoh dua tahun lalu.
“Banyak liku-liku hidup, mungkin dari luaran orang nampak saya okey. Sebagai seorang pelakon atau wanita kuat macam saya, kita akan selalu ada di satu masa yang mahu semua orang nampak kita kuat
“Tapi saya manusia biasa juga. Ada dugaan hidup yang sukar nak digambarkan, memang sangat menyedihkan, melukakan dan sangat berat untuk nak sampai di tahap ini. Alhamdulillah sekarang sudah semakin gembira, tenang serta bahagia,” katanya dalam satu temu bual.
Dia memberitahu, kekuatan utamanya dalam mencari kekuatan hidup untuk menjalani setiap ujian ialah sentiasa meminta bantuan daripad Allah SWT.
“Orang kata klise tapi ini betul. Nombor satu adalah memang pertolongan daripada Allah. Memang pertolongan dan kekuatan hanya datang daripada Dia.
“Nombor dua, saya miliki ‘support system’ yang baik iaitu keluarga my family dan teman-teman rapat. Kemudian paling penting dalam hidup saya juga ialah peminat.
“Bukan sahaja peminat sedia ada tetapi juga ‘silent supporters’ sehingga buat saya tertanya-tanya siapa mereka yang Allah
hantar, ibarat tentera Allah hantar untuk sokong dan pertahankan saya,” katanya lagi.
Kisah Terbaik merupakan ciptaan komposer Aiman Sidek yang dihasilkan istimewa dan dibingkiskan khusus dari kisah Fazura.
Difahamkan Kisah Terbaik bakal dilancarkan di semua platform penstriman esok (3 Julai). – KOSMO! ONLINE














