fbpx
Tangkap layar berhubung kesukaran dialami pengguna susulan ketiadaan laluan pejalan kaki.

Laluan pejalan kaki stesen LRT3 Stadium Shah Alam bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penyediaan laluan pejalan kaki sejauh 200 meter di stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Stadium Shah Alam ke lampu isyarat Persiaran Sukan/Persiaran Akuatik di sini, akan segera disiapkan dalam tempoh sebulan.

Laluan sambungan dari Persiaran Akuatik ke Aeon Mall pula masih dalam proses lantikan kontraktor bagi melaksanakan kerja menaik taraf kawasan itu.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata, pihaknya mengambil maklum aduan awam berhubung kemudahan laluan pejalan kaki di beberapa stesen LRT3 terutama melibatkan Stesen Dato’ Menteri, Stadium Shah Alam, Seksyen 7 dan Kerjaya yang mula beroperasi kelmarin.

Jelasnya, MBSA ketika kelulusan pelan pembangunan pada 2019 menetapkan syarat penyediaan laluan pejalan kaki bagi menghubungkan stesen dengan lokasi tumpuan, pembangunan komersial dan kemudahan awam.

“Bagi Stesen Dato’ Menteri, pelan pembangunan diluluskan kepada Prasarana dengan syarat penyediaan laluan berbumbung yang menghubungkan stesen ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Kompleks PKNS dan sepanjang Persiaran Bandaraya sehingga bangunan Maybank.

“Pembinaan kemudahan itu sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada September depan,”katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan keluhan pengguna mengenai kemudahan pejalan kaki dan lintasan zebra yang belum lengkap di Stesen LRT3 Stadium Shah Alam dan Stesen Dato’ Menteri.

Justeru, Kerajaan Selangor mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pemaju menyegerakan kerja penambahbaikan kemudahan infrastruktur di sekitar stesen LRT3 Laluan Shah Alam susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN