TEXAS – Jurulatih Norway, Stale Solbakken menyuarakan rasa bangga dan gembira apabila pasukan itu melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Ivory Coast 2-1 di Stadium Dallas awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Vikings meledak dua gol menerusi pemain sayap, Antonio Nusa dan penyerang, Erling Haaland manakala gol Ivory Coast dijaringkan pemain gantian, Amad Diallo.
Solbakken berkata, emosinya seperti ‘yo-yo’ sepanjang perlawanan tersebut apabila menyaksikan Ivory Coast menguasai sebahagian besar permainan sebelum Norway meledak gol kemenangan pada penghujung saingan.
“Perlawanan hari ini (semalam) cukup sukar dan menarik. Mungkin ia bukanlah sesuatu yang berbahaya kepada ‘kesihatan’, tetapi ia membuatkan saya tidak senang duduk dan gelisah sepanjang 90 minit itu.
“Apa yang paling penting adalah kami berjaya melakukan kebangkitan selepas Ivory Coast menyamakan kedudukan. Ini adalah kemenangan pertama Norway di pusingan kalah mati dan kami melakukannya ketika berdepan pasukan kuat,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menghamburkan pujian kepada Haaland yang menjadi wira The Vikings selain menganggap kehadiran penyerang berkenaan membuatkan pemain-pemain lain lebih tenang.
“Dia (Haaland) merupakan penyerang terbaik di dunia dan ia tidak perlu diragui. Saya fikir kehadirannya dalam pasukan membuat pemain-pemain lebih yakin dan tenang bagi memburu jaringan,” ujar Solbakken. – AGENSI














