fbpx
Antara tangkap layar kejadian memaparkan pemandu mabuk memandu lori secara lawan arus. - GAMBAR HIASAN

Trend penyalahgunaan dadah, alkohol pemandu semakin meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Trend penyalahgunaan dadah terutama methaphetamine dan alkohol dalam kalangan pemandu dikesan semakin meningkat.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, berdasarkan trend semasa, terdapat pemandu yang mengambil methamphetamine kerana menyangka bahan itu mampu meningkatkan tenaga untuk memandu dalam tempoh yang lama.

“Hakikatnya, tindakan itu hanya merosakkan diri sendiri dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemantauan JSPT mendapati semakin banyak pemandu dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol, sekali gus mendorong pihaknya mempergiatkan operasi bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan memberi tumpuan kepada pemandu kenderaan perdagangan.

Mohammed Hasbullah berkata, JSPT sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperketatkan peruntukan undang-undang, termasuk memperkukuh sistem merit dan demerit.

“Cadangan itu turut melibatkan pembatalan lesen memandu serta lesen vokasional terhadap pemandu yang didapati melakukan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan alkohol,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya syarikat pengangkutan dipertanggungjawabkan sekiranya menggaji pemandu yang melakukan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah atau alkohol.

“JSPT juga sedang membangunkan sistem pemprofilan yang membabitkan individu, syarikat dan kenderaan sebelum cadangan ini dikemukakan kepada kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya, semua syarikat pengangkutan digesa melaksanakan saringan dadah secara berkala terhadap pemandu masing-masing.

“Jangan hanya mengejar keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya. Silap sedikit sahaja boleh menyebabkan nyawa tergadai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN