CAPE TOWN – Acara lelongan karya seni June Spotlight Sale yang dikendalikan oleh firma Strauss & Co, meraih kutipan keseluruhan berjumlah R12.7 juta (RM3.1 juta) daripada jualan 52 lot karya seni, lapor laman berita Time Out.
Tarikan utama lelongan itu ialah potret ikonik memaparkan seorang wanita Muslim Cape yang meraih harga jualan begitu tinggi.
Potret berjudul Wanita Melayu itu merupakan hasil karya Irma Stern yang dilukis pada tahun 1936.
Anggaran awal nilai lukisan tersebut adalah antara R3 juta (RM740,000) hingga R5 juta (RM1.2 juta).
Ia akhirnya dibeli oleh seorang individu misteri melalui bidaan dalam telefon pada harga R5,032,500 (RM1.24 juta), baru-baru ini sekali gus mencapai sasaran anggaran harga tertinggi dan muncul bintang utama jualan tersebut
Para peminat seni antarabangsa menyifatkan karya Wanita Melayu sebagai naskhah visual yang luar biasa.
Ia menggabungkan kehebatan emosi tenang mirip komposisi Zaman Biru Pablo Picasso, namun diimbangi dengan perspektif unik Stern yang berakar umbi daripada identiti Afrika Selatan. – AGENSI














