KAJANG – Penduduk Flat Taman Impian Indah di sini tidak menyangka bau busuk seakan ikan pekasam membawa kepada penemuan mayat wanita dalam bagasi di sebuah rumah semalam.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Liz, 48, berkata, bau tersebut mula dihidu sejak dua hari lalu, namun dia langsung tidak mengesyaki perkara buruk yang berlaku.
“Memang ada bau pelik macam ikan pekasam. Kami ingat rumah siapa pula yang masak ikan pekasam hari-hari. Tak sangka rupa-rupanya bau itu datang daripada mayat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Liz, mayat wanita itu dijumpai selepas pemilik rumah datang membuat pemeriksaan kerana penghuni dikatakan gagal membayar sewa selama sebulan.
“Pemilik rumah membuka pintu sebelum menjumpai bagasi yang ada mayat di dalam rumah. Bukan di luar, tetapi dalam ruang tamu rumah,” ujarnya.
Liz yang sudah 22 tahun menetap di flat itu berkata, dia tidak mengenali penyewa rumah terbabit dan tidak pernah berjumpa dengan mereka.
“Mereka (penyewa) baru menyewa di sini. Keluar masuk rumah pun tak tentu masa, memang kami tidak kenal,” ujarnya.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian bunuh itu sebaik pulang daripada menziarahi keluarga sebelum melihat kawasan rumah tersebut dipenuhi orang ramai.
“Saya memang terkejut. Tak jangka langsung perkara macam ini berlaku di kawasan sini. Sebelum ini kes curi atau gaduh ada, tetapi kes jumpa mayat seperti ini memang kali pertama,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa yang juga lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 20-an berkata, dia baru berpindah ke flat tersebut dan tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan penghuni rumah berkenaan.
Katanya, tiada sebarang perkara pelik yang berlaku atau bunyi bising sehari sebelum kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, proses bedah siasat mangsa sedang dijalankan dan pihaknya mengambil keterangan pemilik rumah bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemilik rumah menemukan mayat seorang wanita dalam bagasi ketika membuat pemeriksaan di kediaman yang disewanya semalam.
Mayat itu ditemukan di ruang tamu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE














