PETALING JAYA – Gelagat dua kanak-kanak dari Kelantan yang gigih mencari rezeki dengan menjual ikan darat berjaya mencuri perhatian netizen selepas video mereka tular di media sosial.
Menerusi video tersebut, dua kanak-kanak berkenaan dilihat masih berselut, dipercayai baru pulang menangkap ikan darat seperti ikan keli, haruan dan puyu di kawasan sawah.
Mereka kemudian menawarkan lima ekor ikan kepada seorang wanita dengan harga hanya RM10.
Apa yang mencuit hati netizen bukan sekadar harga yang murah, tetapi cara kedua-dua kanak-kanak itu berunding dan memujuk pembeli sehingga mengundang pelbagai reaksi lucu.
Walaupun dalam keadaan pakaian dan badan dipenuhi lumpur, mereka tetap tersenyum sambil memegang bungkusan berisi hasil tangkapan, memperlihatkan kesungguhan mencari wang dengan usaha sendiri.
Di ruangan komen, ramai netizen memuji semangat dan kerajinan kanak-kanak tersebut selain menyifatkan video itu mengimbau kenangan zaman kecil ketika mencari ikan di sawah.
“RM10 tu bukan beli ikan semata-mata, tapi beli usaha mereka,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen berkata, dia berharap lebih ramai orang membeli hasil jualan kanak-kanak itu sebagai tanda sokongan terhadap sikap berdikari yang ditunjukkan mereka.
Video berkenaan terus dikongsi ramai pengguna media sosial dan menerima ribuan tontonan serta pelbagai komen positif.- KOSMO! ONLINE














