Dalam mendepani cabaran dunia moden yang semakin kompleks, negara memerlukan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik dan berkemahiran teknikal tetapi turut memiliki disiplin, ketahanan mental serta semangat patriotisme yang tinggi.
Sehubungan itu, Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh, Perak menganjurkan Kem Tahunan Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MALPTAAC) Siri 17/2026 baru-baru ini.
Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, MALPTAAC menjadi platform penting dalam membentuk generasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kompeten dan bersedia menyumbang kepada pertahanan negara.
“Lebih signifikan lagi, tahun ini merupakan sambutan Jubli Perak MALPTAAC sempena ulang tahun ke-25 penganjurannya sejak diperkenalkan pada 1999.
“Sepanjang dua dekad, program ini berkembang daripada latihan tahunan Askar Wataniah politeknik kepada medan pembentukan jati diri, disiplin dan kejiwaan nusa bangsa dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Beliau berkata, program hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Tentera Darat Malaysia itu memilih PUO serta Rejimen 503 Askar Wataniah sebagai hos bagi tahun bersejarah ini.

Salmi berkata, kejohanan tersebut berlangsung dari 1 hingga 15 Jun 2026 dengan penglibatan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh negara.
“Pemilihan PUO sebagai tuan rumah amat simbolik kerana institusi ini pernah menjadi lokasi edisi pertama MALPTAAC selain muncul Juara Keseluruhan MALPTAAC Siri 15/2024 di Perlis.
“MALPTAAC bukan sekadar latihan ketenteraan tetapi platform pembangunan modal insan melalui latihan kawad kaki, ujian menembak, multi relay dan merentas halangan yang menguji fizikal serta mental peserta,” katanya.
Dalam situasi mencabar itu, beliau berkata, nilai kepimpinan, komunikasi, disiplin dan semangat setiakawan diterapkan secara langsung.
Lebih menarik lagi, program seperti itu turut mengubah persepsi terhadap generasi Z yang sering dilabel sebagai terlalu selesa, manja dan bergantung kepada teknologi.
“Hakikatnya, apabila diberikan cabaran, disiplin dan pendedahan yang tepat, anak muda mampu tampil sebagai generasi yang berani, tahan lasak dan sanggup berkorban demi negara.
“Melalui latihan ketenteraan dan aktiviti lapangan, peserta dilatih keluar daripada zon selesa, mengurus tekanan serta memahami makna sebenar tanggungjawab dan pengorbanan dalam mempertahankan keamanan tanah air,” katanya.
Lebih penting lagi, menurut Salmi, penglibatan pelajar TVET dalam Askar Wataniah memperlihatkan bahawa bidang teknikal dan pertahanan negara saling melengkapi.
Perkara itu bertepatan dengan era pertahanan moden yang memerlukan tenaga mahir dalam teknologi, kejuruteraan dan pengurusan operasi.
“Selepas 25 tahun, MALPTAAC kini menjadi simbol penting pembangunan modal insan negara, melahirkan generasi pewaris yang berilmu, berdisiplin, berjiwa patriotik dan bersedia menjadi benteng pertahanan Malaysia pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Platun Kompeni Delta, Batalion 1, Rejimen 503 Askar Wataniah, Leftenan Muda Adijah Ayob berkata, dia amat menghargai nilai disiplin, ketahanan mental dan semangat juang yang menjadi asas kepada setiap kejayaan dilakar.
“Nilai-nilai inilah yang saya lihat terpancar dalam diri para peserta kontinjen PUO sepanjang MALPTAAC Siri 17 ini berlangsung.
“Saya menyaksikan sendiri kegigihan, kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar dalam setiap latihan dan persiapan yang dijalankan,” katanya.
Menurut pensyarah di Jabatan Perdagangan PUO itu, para pelajar berkenaan sanggup berkorban masa, tenaga dan keselesaan demi memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Ujarnya, semangat yang ditunjukkan jelas membuktikan bahawa kejayaan tidak datang secara kebetulan tetapi lahir daripada usaha yang berterusan dan kesungguhan yang tidak pernah luntur.
“Alhamdulillah, segala pengorbanan dan kerja keras tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila PUO berjaya merangkul gelaran Juara Keseluruhan MALPTAAC Siri 17.
“Lebih membanggakan, kejayaan ini merupakan kali kelapan PUO menjuarai kejohanan berprestij ini, sekali gus membuktikan bahawa budaya kecemerlangan, disiplin dan semangat berpasukan terus subur dalam kalangan warga PUO.
“Tahniah kepada seluruh kontinjen PUO yang telah mengharumkan nama institusi dan membuktikan bahawa politeknik ini sememangnya layak digelar sebagai Home of TVET Champions,” katanya.














