SEPANG – Secara kebiasaan, ramai individu beranggapan rutin hidup sihat memerlukan belanja yang lebih tinggi, sekali gus mewujudkan stigma ‘mahal’ termasuk melibatkan elemen pemakanan yang dikaitkan dalam konsep kehidupan berkenaan.
Stigma itu wujud apabila rata-rata produk untuk golongan yang ingin menjaga kesihatan ditawarkan pada harga yang lebih tinggi di pasaran, termasuk makanan tambahan seperti serbuk protein.
Tanggapan itu menjadi inspirasi kepada Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ONTHEGO F&B Sdn. Bhd. (Onthego), Abdul Arieff Abas, 33, untuk mencipta produk kesihatan yang lebih mesra poket buat pengguna, khususnya rakyat Malaysia.
Abdul Arief berkata, pengalaman menjadi jurulatih kesihatan selama lebih 10 tahun hingga berjaya membantu ribuan orang mencipta kehidupan lebih sihat turut menjadi inspirasi dalam penghasilan produk Onthego.
“Kami mahu menawarkan produk yang mudah dan cepat untuk mereka yang mahu berdiet.
“Visi kami ialah mahu melihat pengguna menjadi lebih sihat dengan menggunakan produk kesihatan yang ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di ibu pejabat syarikat di sini baru-baru ini.
Onthego merupakan syarikat tempatan yang menawarkan produk berkonsep kesihatan seperti perasa makanan sifar kalori, selain serbuk protein pelbagai perasa termasuk durian musang king dan chocolate indulgence.
Jelas Abdul Arieff, antara faktor utama yang membezakan Onthego daripada jenama lain di pasaran ialah kejayaan syarikat memiliki dan mengendalikan kilang pengeluaran sendiri di Selangor.

Katanya, fasiliti tersebut membolehkan keseluruhan proses pembuatan dijalankan secara domestik, tanpa bergantung kepada produk siap yang diimport dari luar negara.
Langkah strategik itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah memberi kawalan yang lebih ketat terhadap kualiti produk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pematuhan standard keselamatan makanan yang ditetapkan.
“Selepas kejayaan produk perasa makanan (seasoning), kami mengorak langkah ke hadapan dengan mengeluarkan produk serbuk protein dengan pelbagai perisa antaranya coffee hazelnut royale dan salted caramel.
“Produk ini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna yang aktif bersukan. Ia sesuai untuk sesiapa sahaja yang mencari makanan tambahan bagi memenuhi nutrisi harian,” tambah Abdul Arieff.
Ujarnya, produk serbuk protein syarikat tidak mengandungi gula putih dan pemanis tiruan, sebaliknya menggunakan pemanis stevia yang tidak berisiko.
“Produk kami telah menerima pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sedang dalam proses untuk mendapatlan pengiktirafan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dijangka diperoleh pada Ogos ini,” katanya.
Sementara itu, menurut seorang lagi pengasas yang juga Pengarah Urusan Onthego, Muhammad Emuff Dhiya Ishak, 35, selain menawarkan produk mampu milik, syarikat turut memberi fokus kepada pengeluaran bahan perasa sifar kalori serta pelbagai produk pemakanan sukan premium seperti whey protein, creatine dan suplemen kecergasan.

“Pada tahun 2024, kami memasarkan produk perasa makanan pelbagai perisa antaranya lada hitam, kicap pedas, rendang special, perapan bakar, satay special dan tandori.
“Jualan amatlah memuaskan kerana produk ini tiada perasa dan pewarna tambahan serta garam berlebihan,” katanya.
Jelasnya, syarikat telah menjalani pertumbuhan luar biasa dalam masa singkat didorong oleh komitmen terhadap kualiti produk, kepercayaan pelanggan serta strategi perniagaan yang menekankan pembangunan jenama secara menyeluruh.
Selain itu, kesemua produk Onthego menjalani ujian makmal pihak ketiga termasuk SGS bagi memastikan ketelusan, keselamatan dan kualiti terbaik untuk pengguna.
Pada masa sama, pendekatan pemasaran digital yang agresif memainkan peranan penting dalam mempercepat pertumbuhan kesedaran jenama dalam kalangan pengguna pelbagai lapisan usia yang turut melibatkan kerjasama strategik bersama artis, pencipta kandungan dan pempengaruh terkenal tempatan.
Melalui penggunaan platform media sosial dan sesi siaran langsung yang interaktif, Onthego berjaya mendekati pengguna secara lebih dekat, selain berkongsi ilmu berkaitan pemakanan, kecergasan dan gaya hidup sihat.
Dengan asas perniagaan yang semakin kukuh, kapasiti pengeluaran yang lengkap serta sokongan komuniti yang terus berkembang, Onthego kini bersediamelangkah lebih jauh dalam memperluas portfolio produk dan meneroka peluang pasaran baharu pada masa hadapan.
Ia berhasrat untuk menembusi pasaran global termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei.














