fbpx
BUKAN hanya anggota asal Slam, konsert The Grand Slam Unplugged 2 turut melibatkan gitaris handalan industri muzik tanah air terdiri daripada JoeBranko, Kid Search dan Aznan Alias. - SYAKIR RADIN

Sentuhan listrik 4 gitaris, perhebat getar ‘unplugged’ Slam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

THE Grand Slam Unplugged 2 seolah-olah membawa ribuan peminat mengembara dalam kapsul masa menyusuri era kegemilangan muzik rock dan balada 1990-an.

Secara tidak langsung, persembahan tersebut mengembalikan nostalgia lampau yang sarat memori manis terutama tatkala seleksi malar segar seperti Tak Mungkin Berpaling, Nurkasih, Kembali Terjalin dan Gerimis Mengundang berkumandang.

Membuktikan kematangan ahli kumpulan yang rata-rata sudah mencecah 50-an, setiap kali vokalisnya, Zamani mengalunkan dendangan, gelanggang hiburan di tengah Kuala Lumpur itu bergema dengan alunan suara peminat.

Persembahan ini juga merupakan kesinambungan kepada konsert bersejarah mereka yang diadakan pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka.

Tidak perlu dipelawa untuk berdendang bersama, bagai dipukau lancar sahaja kira-kira 4,000 penonton menyanyi beramai-ramai seperti Zamani diiringi kumpulan koir.
Pujian juga wajar diberikan kepada penyanyi terbabit apabila masalah tulang belakang yang masih membelenggu diri tidak mematahkan semangat untuk memberikan persembahan terbaik.

Bukan hanya vokal yang masih ampuh, tetapi semangat juang Zamani yang berdiri sepanjang dua jam konsert harus diberi pujian.

Konsert yang menyajikan sebanyak 20 buah lagu itu turut mempamerkan kehebatan Shah di posisi gitar, Lili (bes), Man (dram) dan Eddie (keyboard).

Kelainannya pada kali ini, Slam membuat persembahan dalam bentuk orkestra iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Malah, persembahan yang mengimbau memori zaman remaja tersebut turut disertai JoBranko, Kid Search dan Aznan Alias sebagai pemuzik undangan.

Mereka bergabung tenaga menyampaikan karya seperti Intanku Kesepian, Gadisku dan Sentuhan Listrikmu.

Pada awal konsert, katalog lagu seakan-akan kurang ‘sesuatu’ ibarat kopi tanpa gula yang membuatkan penonton tertunggu-tunggu beberapa dendangan yang tak kunjung tiba.

Menurut Zamani, memang mereka memilih mendendangkan lagu yang jarang dimainkan pada set pertama.

Lagu-lagu tersebut seperti Sinar Menunggu, Biarkannya, Kurnia, Satu Jalan Satu Pegangan dan Mentari Muncul Lagi.

Pada malam The Grand Slam Unplugged 2 juga, Zamani sempat menyampaikan lagu solonya berjudul Syair Si Pari-Pari bersama Slam. Perkara tersebut turut menjadi momen istimewa terutama buat peminat.

“Jarang nak dapat buat persembahan dengan Slam. Terimalah lagu Syair Si Pari-Pari,” katanya sebelum menyambung persembahan.

Selain itu, karya-karya lain yang turut dipersembahkan semasa konsert adalah Kembali Merindu, Jika Kau Rasa Getarnya, Manisnya Rindu, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Buat Seorang Kekasih.

Pada malam itu juga Zamani turut menzahirkan ucapan terima kasih dan berharap peminat tidak berhenti memberikan sokongan buat Slam.

“Terima kasih semua yang sudah menyokong Slam dari dahulu sehingga kini. Teruskan menyokong Slam sampai bila-bila,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN