SUNGAI PETANI – Seorang wanita parah, manakala tujuh lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 94, Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 8.45 pagi itu melibatkan sebuah lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Noah dan kereta Perodua Myvi. Mangsa yang terlibat berusia 16 hingga 56 tahun.
Difahamkan, sebahagian mangsa terdiri daripada guru daripada sebuah sekolah di Perlis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Happyzam Abd. Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.56 pagi.
“Kemalangan membabitkan lori tujuh tan, MPV dan Perodua Myvi. Terdapat lapan mangsa iaitu dua lelaki yang menaiki lori, dua wanita di dalam Perodua Myvi serta seorang lelaki dan tiga wanita di dalam MPV Toyota Noah,” katanya hari ini.
Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi yang tersepit di tempat duduk dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan mengalami kecederaan pada kepala, bahu serta kaki.
“Tujuh lagi mangsa hanya mengalami luka kecil,” ujarnya.
Menurutnya, dua mangsa yang menaiki Myvi dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Dua mangsa yang menaiki lori dibawa ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan, manakala empat lagi mangsa daripada Toyota Noah dibawa ke hospital sama oleh orang awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














